Jenazah tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer 55 Jalan Pekan-Nenasi-Rompin selamat dikebumikan dalam satu liang lahad awal pagi Rabu.

Kesemua mangsa dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Betong, di sini, kira-kira pukul 3.10 pagi tadi.

Sebelum itu, ketiga-tiga jenazah disembahyangkan di Masjid Kampung Betong Felcra In Situ, Hulu Berang.

Suasana pilu mengiringi sepanjang pengebumian kesemua mangsa yang dihadiri kira-kira 200 ahli keluarga dan penduduk kampung.

BACA: Tiga beranak maut dalam nahas MPV dilanggar lori ais

Pada Selasa, Nor Hasidah Asbullah, 32 tahun, dan dua anaknya, Nur Auni Athirah Kamaruddin, 8 tahun, dan Muhammad Iffat Rizqi, 2 tahun, maut selepas kenderaan MPV yang dinaiki mereka berlanggar dengan sebuah lori ais.

Tiga beranak tersebut maut di tempat kejadian selepas tercampak keluar daripada kereta yang dinaiki dalam nahas pukul 9.45 pagi itu.

BACA: Kejutan pulang ke kampung berakhir tragedi

Ketika kejadian, Perodua Alza yang dipandu suami Nor Hasidah, Kamaruddin Mohd Zin, 33 tahun, sedang dalam perjalanan ke Terengganu dari arah Johor Bahru.

Menurut polis, Kamaruddin yang merupakan operator kilang di Pasir Gudang, Johor, dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Ajil, Terengganu.