Bapa kanak-kanak dua tahun yang menghidap penyakit atresia biliari (hati), Arshad Imanshah, Antashah Mohd Nor kini di dalam dilema untuk memilih tiga pilihan yang diberi doktor di Hospital Sir Ganga Ram (SGRH), New Delhi demi masa depan anaknya.

Kata Antashah, doktor pakar memberinya tiga pilihan iaitu pembedahan pemindahan hati, memberi tempoh masa lebih lama kepada Arshad untuk melihat perkembangan hatinya atau tidak melakukan apa-apa pembedahan terhadap anaknya.

Jelasnya, hasil ujian teknologi imbasan Computed Tomography (CT scan) mengesahkan bahawa hati Arshad berada dalam keadaan yang membimbangkan di mana sekeliling hati tersebut semakin membengkak.

"Kelihatan banyak benjolan di sekeliling hatinya yang menyebabkan hatinya gagal fungsi dengan normal. Arshad memang memerlukan pemindahan hati.

"Setelah Arshad menjalani pemeriksaan CT scan tersebut, perbincangan secara mendalam tentang pilihan yang ada untuk mencari jalan penyelesaian masalah kronik hati Arshad.

"Perbincangan mengambil masa hampir satu jam di mana kami diberi penjelasan tentang risiko pembedahan dan lain-lain," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Khamis.

Antashah, isterinya dan Arshad bertolak ke India pada Ahad lepas untuk menjalani pembedahan hati kali kedua selepas prosedur kali pertama pada 28 Oktober tahun lalu tidak mencapai kejayaan.

Luahan hatinya turut dimuatkan di dalam catatan terbaharu di laman Facebook Donate and Save Arshad Imanshah.


Antara wajah terkini Arshad di Hospital Sir Ganga Ram (SGRH) New Delhi - Sumber gambar Facebook Donate and Save Arshad Imanshah.Antashah

Pilihan pertama kata Antashah berisiko tinggi iaitu 30 sehingga 50 peratus kegagalan.

"Risiko ini juga boleh mengakibatkan Arshad kehilangan nyawa ketika pembedahan sedang dijalankan atau setelah pembedahan. Menurut pakar bedah hati, risiko sebegini berlaku disebabkan Arshad telah menjalankan tiga kali lagi pembedahan utama selepas pemindahan hati pertama di Singapura dahulu di mana ketika usus besar Arshad pecah selepas seminggu pemindahan hati dijalankan.

"Faktor itu mengakibatkan struktur dalaman Arshad melekat antara satu sama lain dan hasil ujian CT scan menunjukkan bahawa kedudukan organ dalamannya telah berpusing-pusing berlawanan dengan kedudukan organ manusia normal.

"Pilihan pertama ini sebenarnya sangat berisiko namun sekiranya pemindahan ini berjaya maka dengan izin Allah nyawa Arshad dapat diselamatkan," katanya sayu.

Selain itu, pilihan kedua adalah dengan memberi tempoh masa lebih lama kepada Arshad untuk melihat keadaan hatinya dalam tempoh tiga sehingga enam bulan.

"Namun, sekiranya dibiarkan keadaan Arshad akan semakin lemah dan sukar untuk dia bertahan sekiranya pemindahan hati ingin dilakukan pada ketika itu," ujarnya.

Sementara pilihan ketiga dan yang terakhir adalah untuk tidak melakukan apa-apa pembedahan terhadapnya.

"Doktor juga tidak dapat mengagak sejauh mana hatinya dapat bertahan. Mungkin tiga atau enam bulan dan mungkin juga satu tahun.

"Namun keadaannya boleh menjadi lebih teruk sehingga boleh menyebabkan berlakunya muntah darah dan seterusnya boleh mengancam nyawanya," jelasnya.

Jelas Antashah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, ujian Tuhan itu dirasakan terlalu berat namun tidak putus berdoa untuk keselamatan Arshad.

"Sementara menunggu keputusan kami, hari ini Arshad akan menjalani liver biopsy untuk mengesahkan lagi keadaan hatinya.

"Arshad sekali lagi harus berpuasa empat jam bagi menjalani prosedur tersebut. Ibu Arshad juga sudah mula menjalani pemeriksaan darah dan pemeriksaan CT scan akan menyusul.

"Semoga hati ibu Arshad tiada masalah dan boleh menjadi penderma hati buat anak kami yang dikasihi sekiranya pemindahan hati ingin dijalankan," katanya.

Arshad menjalani pembedahan pemindahan hati pada 28 Oktober namun terpaksa menjalani tiga pembedahan susulan selepas mengalami kesukaran bernafas pada 5 November lepas.

Sejak Julai tahun lepas, Astro AWANI menyiarkan kisah Arshad yang memerlukan sekurang-kurangnya RM500,000 untuk pembedahan pemindahan hati.

Kos itu tidak termasuk rawatan susulan dan ubat-ubatan yang terpaksa ditanggung selepas pembedahan.

Selain https://www.facebook.com/Arshadimanshah, maklumat mengenai Arshad juga boleh diperoleh melalui ‪#‎donateandsavearshadimanshah‬ ‪#‎donaterm1forbabyarshad‬ #‎2ndLiverRetransplant‬ ‪#‎harapanbaru‬.