Kemesraan pemimpin nombor satu negara, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama golongan artis terserlah pada majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) bersama Perdana Menteri dan Penggiat Seni malam ini.

Dialog selama hampir dua jam yang dihadiri kira-kira 300 artis muda dan veteran itu berlangsung secara santai, dimulakan dengan detik swafoto bersama dengan moderator majlis, Datuk Rosyam Nor dan perdana menteri.

"Tentu rakan-rakan artis iri hati melihat saya berswafoto dengan perdana menteri," kata pelakon dan penerbit filem itu, sambil berjenaka meminta Najib untuk mengikuti Instagram beliau, iamrosyam.

Perdana menteri kemudian berkata:"Saya harus membalas swafoto ini," sambil mengeluarkan telefon pintar miliknya.

Kedua-dua mereka kelihatan begitu mesra sambil memeluk bahu ketika berswafoto.

Majlis dimeriahkan dengan persembahan beberapa penyanyi tempatan iaitu Haziq Akademi Fantasia (AF), Syamil (AF) dan Wany Hasrita yang kemudian disusuli dengan sesi berdialog bersama Najib.

Sementara itu pelawak terkenal, Zizan Razak yang ditemui selepas majlis itu berkata acara yang dianjurkan perdana menteri malam ini menunjukkan bahawa perdana menteri tidak memandang remeh sumbangan artis terhadap pembangunan negara.

"Penyampaian perdana menteri mengenai TN50 pada malam ini, secara tidak langsung telah memberi tanggungjawab kepada artis untuk lebih kuat bekerja dan saya mengharapkan apa yang dicadangkan oleh para artis akan dipertimbangkan beliau terutama mengenai kebajikan artis," katanya.

-- BERNAMA