Melihat pada perkembangan teknologi tanpa sempadan yang begitu pantas, usaha memerangi pembiayaan keganasan perlu dilakukan dengan lebih berkesan menerusi metodologi terkini dan kerjasama kukuh peringkat global, kata pakar.

Pakar daripada antipembiayaan keganasan percaya pemain pelbagai peringkat perlu meningkatkan kerjasama dalam mengenal pasti sejauh mana pembiayaan keganasan serta instrumen yang digunakan.

Mereka percaya mekanisme pelbagai peringkat seperti sektor awam, swasta dan bank perlu memaksimumkan peranan teknologi serta inovasi untuk memerangi pembiayaan keganasan.

Pengarah Pusat Kajian Jenayah Kewangan dan Keselamatan Royal United Services Institute, United Kingdom, Tom Keatinge berkata pemain industri setidak-tidaknya perlu berada selangkah di depan kumpulan pengganas dan militan ini dengan bekerjasama dan berkongsi pengetahuan tentang pembiayaan keganasan.

Bercakap kepada Bernama dan Straits Times Singapura di luar Sidang Kemuncak Antipembiayaan Keganasan di Bank Negara Malaysia (BNM) di sini pada Selasa, Keatinge berkata yang beliau bimbangkan ialah pendekatan memerangi pembiayaan global diwujudkan selepas tragedi 9/11 iaitu 16 tahun lalu.

"Justeru, adakah kita mewujudkan respons yang sepadan dengan ancaman pada hari ini? Seperti yang kita ketahui, kini ada Abu Sayyaf, Daish, pelaku sendirian dan penyerang-penyerang di London, Paris dan Brussels serta sebagainya, justeru kita berdepan dengan landskap yang lebih kompleks," katanya.

Keatinge juga berpandangan sesetengah pemain pelbagai peringkat termasuk pembuat dasar masih terkebelakang.

Beliau percaya penyelesaian selepas insiden 9/11 tidak semestinya penyelesaian yang tepat untuk isu pembiayaan keganasan hari ini dan ada keperluan sistem tindak balas di antara unit perisikan kewangan (FIU) peringkat global ditambah baik.

"Satu daripada penyelesaian ialah sektor awam dan swasta perlu bekerja bersama, meningkatkan kerjasama dan kolaborasi. Sektor swasta memiliki himpunan data yang banyak.

"Justeru jika kerajaan dapat membantu sektor swasta, cari jalan untuk sektor swasta menggunakan data itu, maka kita boleh mula membangunkan sistem yang lebih berkesan. Ini memerlukan kerjasama dan sikap saling mempercayai di antara kerajaan dan swasta," katanya.

"Ini tidak mudah, ia menuntut kita mengambil risiko dan mencuba sesuatu yang baharu," kata Keatinge lagi dan menambah pemain utama serta pembuat dasar perlu membina jambatan di antara kerajaan dan sektor swasta bagi memanfaatkan perkongsian awam dan swasta.

Berkongsi pandangan serupa Pengurus Perisikan Negara Pusat Analisis dan Laporan Transaksi Australia (AUSTRAC), Dr John Moss berkata kekangan utama ialah keupayaan melakukan rujukan silang serta mengenal pasti siapa yang mempunyai maklumat.

"Lazimnya kita tidak tahu siapa yang mempunyai maklumat itu. Ini cabaran dari segi operasi," katanya.

Beliau berkata di Australia, kebanyakan pengganas asing masih menggunakan platform perbankan tradisional yang sah untuk membiayai pergerakan mereka.

"Ini temasuk menunaikan kad kredit, menjual barang-barang peribadi serta melakukan pindahan ke akaun lain untuk membiayai keganasan.Justeru, agak mencabar bagi kami, pihak bank dan penguat kuasa undang-undang untuk menapis dana yang disyaki dan berisiko," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jenayah Siber Jabatan Siasatan Jenayah Polis Nasional Indonesia, Grawas Sugiharto, pakar dalam siasatan web gelap, berkata adalah amat penting bagi pihak berkuasa menganalisis corak memandangkan sesetengah militan menggunakan identiti dan lokasi berbeza untuk memindahkan dana.

"Ini masalah global. Cabaran utamanya ia mengambil masa yang lama untuk disiasat. Anda tidak boleh lakukannya dalam seminggu dua. Ia mengambil masa berbulan malah bertahun untuk menangkap suspek," katanya menambah unitnya menerima latihan daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Seorang lagi pakar, Pengarah Pematuhan Antipengubahan Wang Haram Western Union (Filipina) bagi Asia Tenggara, Maureen Gonzalez berkata hakikat perkhidmatan penghantaran wang mempunyai 500,000 lokasi di seluruh dunia menjadikannya satu perniagaan yang kompleks.

"Pasukan FIU dalaman kami menggunakan banyak sumber luar dan dalam untuk melakukan analisis bagi membantu kami mengenal pasti kegiatan mencurigakan," katanya.

BNM menganjurkan Sidang Kemuncak Antipembiayaan Keganasan ketiga dengan kerjasama agensi perisikan kewangan Australia dan Indonesia.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka menyampaikan ucap tama di sidang kemuncak itu esok.

Sidang kemuncak empat hari yang bermula semalam itu menghimpunkan lebih 350 pakar dan profesional daripada pertubuhan antarabangsa bagi berkongsi pandangan mereka mengenai perkembangan dan isu terkini berhubung pembiayaan keganasan.

-- BERNAMA