Dua lagi suspek ditahan membabitkan kes video tular seorang lelaki dibelasah di Bandar Country Homes, awal pagi kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penahanan dua lelaki berkenaan menjadikan jumlah yang telah ditangkap bagi kes berkenaan seramai lima orang.

Menurutnya, suspek tersebut merupakan kumpulan 08 berusia dalam lingkungan 20an dan 30an.

"Mereka ditahan kira-kira jam 1 pagi tadi di Bandar Baru Kundang.

"Masing-masing mempunyai rekod jenayah dan dadah," katanya.

Katanya, lima suspek yang ditahan itu akan direman pagi ini.

BACA: Video tular: Polis buru suspek berkumpulan langgar, pukul dan aibkan mangsa

Sinar Harian semalam melaporkan rakaman video tular seorang lelaki terbaring dalam keadaan keadaan separa bogel dengan keadaan cedera dimuka.

Rakaman berdurasi 34 saat turut memaparkan mangsa dilenyek dengan motosikal pada bahagian perut.

Mangsa kemudian ditendang sebanyak beberapa kali oleh individu sama bersama seorang lagi lelaki.

Insiden tersebut dipercayai ada kaitan dengan perebutan kawasan penjualan dadah melibatkan kumpulan 08.