Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata persaingan kuasa besar dan gangguan asing yang berlegar di sekitar Asia Barat merupakan satu lagi peringatan mengapa Malaysia dan ASEAN mesti sentiasa berhati-hati terhadap penglibatan kuasa besar di rantau ini.

Justeru, Malaysia katanya akan bekerjasama dengan ASEAN dalam meningkatkan taraf kerangka kerja sedia ada dan tidak akan membuka ruang campur tangan kuasa besar untuk memastikan persaingan yang semakin meningkat antara Amerika Syarikat dan China tidak menjejaskan rantau ini.

“Malaysia sentiasa meletakkan harapan terhadap dasar berkecuali, bersikap terbuka dan mesra kepada semua negara.

“Kami tidak akan berpihak dalam persaingan kuasa besar dan tidak akan bergantung kepada pakatan ketenteraan atau perkongsian strategik,” katanya pada Sabtu.

Teks ucapan Perdana Menteri dibacakan oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Katanya, polisi ini diterima baik di Malaysia dan ASEAN walaupun dalam menerusi tempoh yang paling sengit dalam persaingan kuasa besar di masa lalu dan akan terus relevan sebagai rangka kerja keselamatan serantau.

Peringatan sewajarnya telah diberikan kepada semua negara, jauh atau dekat, supaya menghormati dasar tidak campur tangan Malaysia serta kemerdekaan dan kedaulatan negara.

“Jangan mengharapkan kami menyertai anda menentang pesaing anda dan jangan harap kami menyertai peperangan anda.

“Kami mengalu-alukan semua pihak yang datang untuk membantu membina rantau yang stabil, makmur, terbuka dan saling berhubungan.Kami akan menolak semua yang datang untuk menguasai atau membahagikan rantau kami menjadi kem-kem perang, " katanya lagi.