KUALA TERENGGANU:Lebih 500 pegawai dan kakitangan Wisma Darul Iman di sini, diarah melaksanakan kerja dari rumah selama tiga hari bermula hari ini bagi membolehkan pihak pengurusan melaksanakan proses disinfeksi di keseluruhan kompleks berkenaan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zahari Md Azahar, dalam satu notis berkata, ia susulan terdapat pegawai di wisma berkenaan menjadi kontak rapat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, yang disahkan positif COVID-19.

Katanya, arahan penutupan itu berkuat kuasa serta-merta dari Selasa hingga Khamis.

Bagaimanapun kira-kira 100 orang yang bertugas di bahagian kritikal seperti bahagian keselamatan dan pengurusan dikecualikan bagi memastikan kelancaran operasi.

BACA: JHEAT, pejabat agama ditutup susulan menteri agama positif COVID-19

BACA: Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri positif COVID-19


Katanya, justeru semua ketua jabatan, ketua bahagian dan ketua unit bertanggungjawab mengenal pasti keperluan pegawai dan kakitangan yang dikehendaki berada di pejabat dalam tempoh berkenaan.

Selain itu semua kakitangan juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) sepanjang tempoh tersebut.

Jelasnya lagi orang ramai yang mempunyai urusan di Wisma Darul Iman masih dibenarkan untuk berurusan tetapi dinasihatkan supaya membuat temu janji terlebih dahulu.