Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata Barisan Nasional (BN) sedia membenarkan bekas wakil rakyat bebas yang menyokong kerajaan bertanding atas tiket BN pada pilihan raya umum ke-13 jika mereka didapati sesuai dan diterima masyarakat.

Perdana menteri berkata ia tetap bergantung kepada tahap penerimaan masyarakat terhadap individu berkenaan di kawasan yang ingin ditandingi serta kekosongan kerusi.

"Sesetengah mereka yang memihak kepada kita tidak ada kawasan tapi kalau ada kesesuaiannya, kita sanggup pertimbang dan benarkan mereka bertanding menggunakan lambang BN," katanya kepada pemberita selepas program perjumpaan Pengerusi BN bersama jentera parti di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata bekas wakil rakyat bebas terbabit akan diberi ruang untuk bertanding dan mereka tidak semestinya menyertai mana-mana parti komponen BN.

Bagaimanapun, beliau mengakui jumlah kerusi yang bakal ditawarkan adalah agak kecil berikutan tiada pertambahan kerusi berbanding PRU 2008.

"Oleh kerana itu, kita kena buat penyesuaian, mungkin ada satu atau dua kerusi berlaku pertukaran," katanya.

Antara bekas wakil rakyat pembangkang yang menjadi wakil bebas dan dilihat cenderung menyokong BN ialah Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Datuk Zulkifli Noordin (Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Seri Zaharin Hashim (Bayan Baru).

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata BN perlu mempertimbang memberi peluang kepada Ibrahim untuk bertanding mempertahankan Parlimen Pasir Mas bagi pihak BN dalam pilihan raya akan datang.