Pengumuman pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 3 April lalu sememangnya dinantikan pelbagai pihak.

Tidak ketinggalan si pencari siput di Sungai Rambai, Jasin.

Apa tidaknya di sebalik kesibukan parti politik berkempen, mereka meraih rezeki sampingan dengan membekalkan buluh kepada parti-parti politik untuk dipasangkan bendera parti.

Bagi Ismail Abdul Ghani beliau tidak akan melepaskan peluang menambah punca pendapatan biarpun terpaksa berdepan dengan miang buluh dan pelbagai ancaman haiwan berbisa.

Namun memandangkan pendapatan sebagai pencari siput sekadar RM 20 sehari beliau menguatkan diri meneruskan tugas yang dilakukannya sejak pilihanraya umum ke-12.

Beliau berkata, “Sejak daripada bubar parlimen sejak itu saya kerja tebang buluh hari-hari, tiap tiap pagi Batu Gajah yang berdekatan.”

Sementara itu bagi Rahmat Abdul Aziz, permintaan terhadap buluh yang sangat tinggi membuatkan mereka 'tidak menang tangan'.

Ini memandangkan mereka terpaksa membekalkan sekurang-kurangnya 6,000 batang buluh untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Abdul Aziz pula berkata, “Kita cari buluh kita bawa keluar kita bersihkan dan akhir sekali hantar ke lori dan hantar ke dun-dun yang meminta, kebiasaan pagi kami menerima tempahan terlalu banyak 5,000 – 6,000 Dun Sg.Rambai tak masuk Merlimau dan Serkam limpah rezeki pada kami.”