Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menuntut penjelasan daripada Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai pendakwaan politik terhadap kes rasuah dan pecah amanah yang dihadapi Presiden UMNO itu.

Armada mempersoalkan, apakah Muhyiddin yang juga Perdana Menteri baru dilantik itu bersetuju
bahawa pendakwaan terhadap Zahid adalah pendakwaan politik dan terpilih?

"Adakah Tan Sri (Muhyiddin) bersetuju bahawa pendakwaan terhadap Zahid Hamidi adalah pendakwaan politik dan terpilih?

"Bukankah akar umbi dan ahli telah berhempas pulas memastikan salah laku Zahid Hamidi dibawa ke pengadilan atas prinsip ketelusan dan 'maslahah ammah'?" soal Armada dalam kenyataan media yang diedarkan pada Isnin.

Bersatu, kata Armada, akan terus menjadi parti Melayu yang bermaruah demi agama,
bangsa dan negara.

Zahid pada hari ini menyifatkan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya adalah pendakwaan politik.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menafikan, semua pendakwaan yang telah dihadapkan kepadanya telah digugurkan.

"Kes ini tidak digugurkan sama sekali seperti kes-kes sebelum ini. Insya-Allah, saya akan membersihkan diri saya di mahkamah tanpa pengguguran kes," kata Ahmad Zahid lagi.

BACA: Nafi kes digugurkan, Zahid Hamidi sedia tentang pendakwaan politik