Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pandangan Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan Ahli Parlimen parti itu yang memberi sokongan kepada timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, sokongan yang diberikan 28 pemimpin kanan parti itu adalah sebagai usaha untuk mengelakkan perpecahan parti.

“Saya terima pandangan daripada Ahli Parlimen dan MPP. Maksud mereka untuk pastikan parti ini tidak kelihatan terlalu tegang, jadi mereka beri peringatan supaya parti boleh bersatu.

“Saya juga sambut positif cadangan mereka supaya bersatu, agar tak ada ketegangan terus, dalam isu melibatkan Mohamed Azmin,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Anwar berkata demikian merujuk kepada kenyataan bersama MPP dan Ahli Parlimen PKR berhubung kenyataannya pada Rabu yang Mohamed Azmin perlu bercuti segera, jika terbukti terlibat dalam video intim dan beliau tidak perlu bercuti jika di sebaliknya.

BACA: Anwar jawab Azmin: "Saya ada tengok cermin pagi tadi"

Mohamed Azmin, yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, sebaliknya membidas kenyataan itu dengan berkata Anwar perlu muhasabah diri.

Sehingga pukul 2 petang ini kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Ahli MPP dan Ahli Parlimen, menyenaraikan 28 nama termasuk empat Naib Presiden PKR - Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ali Biju dan Dr Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak akan membiarkan ketegangan yang berlaku memecah belahkan Pakatan Harapan (PH).

Tegasnya lagi, budaya politik jijik tidak diterima sama sekali.

“Sebelum ini saya sudah katakan kita menolak budaya politik jijik dan saya kata kalau video itu sahih, harus letak jawatan. Itulah, sebaiknya saya tak layan soalan media, tunggu saja laporan siasatan polis,” ujarnya.

BACA: Azmin bukan saingan saya jadi PM - Anwar Ibrahim

Ahli MPP dan Ahli Parlimen PKR dalam kenyataan bersama mereka mendesak Anwar berhenti mengeluarkan kenyataan yang memecah belahkan perpaduan parti dalam isu video lucah yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Terdahulu hari ini, Ketua Polis Negara Datuk Seri Abdul Hamid Bador mengesahkan bahawa video intim yang melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz adalah tulen.