UMNO disifatkan parti paling kuat di negara ini malah paling berjaya dalam sejarah demokrasi dunia, kata presidennya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Jelasnya, keunggulan parti Melayu yang terbentuk sejak 71 tahun yang lalu itu dibentuk atas empat faktor.

"Pertamanya kita tidak pernah meninggalkan asas perjuangan parti iaitu berpaksikan Islam, Melayu Bumiputera dan negara Malaysia.

"Kedua, kita meletakkan perjuangan parti untuk kepentingan seluruh rakyat dari dahulu hingga sekarang. Kita berjuang bukan untuk ahli bahkan semua rakyat tanpa mengira latar belakang.

"Ketiga, kita sentiasa relevan mengikut peredaran zaman dan keempat, kita mempunyai wawasan serta tindakan yang kolektif bersama komponen Barisan Nasional," katanya ketika berucap pada kemuncak majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Khamis.

Pada majlis tersebut yang dihadiri hampir 100,000 ahli dan penyokong UMNO dari seluruh pelusuk negeri, beliau turut menyampaikan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada Tan Sri Hanafiah Hussain, Tan Sri Mohd Yussof Abdul Latif dan Tan Sri Napsiah Omar.