Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mencuit para hadirin persidangan Hari Warga Emas Sedunia apabila beliau berkongsi bagaimana caranya untuk kekal cerdas walaupun usia sudah meningkat ke 93 tahun.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, sewaktu kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) beliau banyak berfikir secara aktif bagaimana mahu menumbangkan kerajaan Barisan Nasional pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika itu.

“Saya ada pertelingkahan besar dengan bekas Perdana Menteri. Jadi sepanjang masa otak saya berfikir bagaimana caranya untuk menukar kerajaan.

“Jadi apabila anda sentiasa berfikir, otak anda sentiasa digunakan. Ini bermaksud anda tidak akan mudah kehilangan memori seperti mana anda lihat yang sering terjadi pada warga emas,” katanya sewaktu berucap merasmikan sambutan itu di Petrosains , KLCC di sini hari ini.

Persidangan anjuran Persatuan Media Era Ketiga Kuala Lumpur dan Selangor itu, bertemakan “Ageing, Learning, & Technology: Enriching Lives, Connecting Communities”, bertujuan untuk membincangkan peluang-peluang yang ada untuk mereka yang telah melalui usia persaraan.

Dr Mahathir berkata, walaupun ada orang bakal menghadapi usia persaraan, mereka seolah-olah sudah bersiap sedia untuk bersara dan menumpukan sisa-sisa hidup yang ada di dunia ini.

Beliau berkata, usia persaraan tidak sepatutnya menjadi penghalang seseorang itu untuk terus kekal aktif

Ujar beliau lagi, tidak salah untuk membuat persediaan, terutamanya bagi orang Muslim, namun mengamalkan kehidupan pasif hanya mengakibatkan badan menjadi lemah lebih awal daripada yang sepatutnya.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau sering kali ditanya bagaimana beliau melalui penerbangan yang panjang iaitu lima belas jam, dan kekal segar untuk mempengerusikan mesyuarat kabinet.

Rahsianya, ujar beliau lagi, ialah pastikan ada waktu tidur yang bersesuaian sewaktu dalam tempoh penerbangan, selain mengamalkan mandi air panas.