Gerakan Harapan Baru (GHB) yang dicanang menyertai gabungan baharu pembangkang menggantikan PAS dan kononnya ingin menyatukan parti pembangkang membuktikan bahawa Pakatan Rakyat lemah dan rapuh serta tidak dapat benar-benar mewakili rakyat.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, GHB yang dicetuskan beberapa bekas pemimpin kanan PAS daripada kumpulan progresif sebenarnya tidak mempunyai sokongan akar umbi yang kuat.

"Pada masa yang sama, kredibiliti pemimpin yang terlibat dalam penubuhan ini ditolak bukan sahaja dalam kalangan parti malah rakyat.

"GHB ini ditubuhkan hanya atas emosi segerombolan bekas pemimpin PAS yang kecewa akibat disingkirkan daripada barisan kepimpinan parti itu pada pemilihan Muktamar yang lepas dan bukannya untuk berbakti atau mewakili rakyat secara telus.

"Kemelut sebegini sememangnya pernah berlaku sebelum ini seperti penubuhan parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan Parti Hizbul Muslimin Malaysia (Hamim). Apakah rakyat harus terus mempercayai barisan ahli yang tiada prinsip lemah aqidah?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi GHB, Mohamad Sabu berkata, parti yang dinamakan sebagai GHB itu dilihat sebagai satu platform untuk menggerakkan semula kerjasama parti politik di pihak pembangkang.

Dalam pada itu, kata Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor, model PR sudah terbukti gagal dan sedang diwarnakan dengan pelbagai wadah.

"Sememangnya parti-parti politik yang berbeda dari segi ideologi pastinya tidak dapat bersama untuk masa yang lama.

"Apakah tujuan mereka bersama hanya untuk menjatuhkan BN dan bukan untuk berbakti kepada rakyat seperti BN," jelasnya.

Tegas Irmoziham, GHB ini juga bakal menyebabkan krisis politik termasuk di Selangor.

"Apatah lagi keahlian mereka yang terlibat dalam penubuhan ini akan tergugur secara automatik daripada PAS dan mereka sudah tidak boleh mewakili PAS lagi di Parlimen walaupun masih kekal sebagai Ahli Parlimen.

"Secara etikanya wajar mereka meletak jawatan sebagai wakil rakyat kerana sebelum ini mereka bertanding atas tiket PAS," ujarnya.

Katanya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri juga sudah mula menegur sikap segelintir ahli yang sanggup meninggalkan parti.

"Abdul Hadi lihat tren itu berlaku apabila ada yang tidak lagi terpilih membarisi kepimpinan tertinggi PAS.

"Ia sekali gus membuktikan krisis PR akan semakin teruk dan parah, seterusnya meletakkan rakyat memilih mereka tertanya-tanya apa nasib mereka seterusnya," jelasnya.