Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu agar ahli-ahli UMNO tidak bertindak mengorbankan parti itu hanya kerana masalah individu di dalam parti.

Itu reaksi beliau ke atas tindakan perletakan jawatan tiga pemimpin sayap UMNO bahagian selatan susulan pengguguran bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada Kabinet Selasa lalu.

Ismail yang baru dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam rombakan Kabinet baru-baru ini meminta agar semua ahli bertenang dan terus mempertahankan parti.

"Kita tunggu dan lihat, bagi saya kalau kita sayangkan UMNO, kita tidak akan korbankan UMNO hanya kerana seseorang.

"Saya harap kita bertenang, UMNO mesti dipertahankan, kalau kita hanya mempertahankan pemimpin, itu yang telah terjadi ketika peristiwa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat dahulu,” kata Ismail yang ditemui ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kuala Langat.

Ismail turut mengingatkan bahawa rombakan Kabinet merupakan satu perkara biasa berlaku di dalam kerajaan dan pernah beberapa kali berlaku di zaman pentadbiran Perdana Menteri terdahulu.

Dalam laporan media pada Jumaat, Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Tenggara Asrul Esreen Mohd Salleh dan Saiful Zakry Ripin telah melepas jawatan dalam satu kenyataan rasmi.

Manakala, seorang lagi pemimpin sayap, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Tebrau Suriyani Subar juga sudah meletakkan jawatan pada 13 Julai lalu.