Penubuhan kerajaan gabungan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang akan datang adalah satu kemungkinan yang tidak ditolak UMNO.

Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa berkata, pilihan raya akan datang bakal menyaksikan kekuatan baru Barisan Nasional (BN) melalui kerjasama dengan parti lain.

Jelasnya, perkara ini akan dibincangkan dalam Perhimpunan Agung UMNO akhir November ini.

Menurutnya, jenama politik yang dibawa parti pembangkang seperti DAP bakal menikam diri mereka sendiri kerana ia membentuk reaksi berlawanan dari pihak lain.


Tambahnya cara politik DAP yang ekstrim telah menolak parti lain seperti PAS, dengan cara yang melukai dan menghilangkan keyakinan PAS terhadap sebarang bentuk kerjasama yang boleh mereka capai bersama.

"Walaupun orang kata sekarang ni pembangkang kuat, saya membayangkan BN bakal menang besar dengan satu bentuk penubuhan politik baru dan pada saya ini adalah masa hadapan.

"UMNO dan Barisan Nasional tidak boleh menjadi terlalu tegar tanpa memikirkan masa hadapan. Kita harus jadi pragmatik dan bersikap terbuka kepada bentuk kerjasama yang baru bagi mendapat mandat rakyat untuk terus memimpin.

"Saya tengok ada pelbagai kemungkinan pada pilihan raya yang akan datang. Seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menggabungkan semua parti politik pembangkang di bawah payung yang sama, mungkin juga terjadi bahawa ada di antara parti yang beliau mahu satukan pun berpecah.

"Kedua saya meramalkan penyatuan umat Islam dalam konteks politik yang lebih kuat dari dahulu kerana kita mengalami perpecahan pada pilihan raya yang lepas dan selalunya perpecahan akan diikuti persepaduan. Saya pasti bahawa masyarakat Melayu, Islam sedang mencari bentuk penyatuan baru," katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Selain itu UMNO sendiri, katanya, perlu berubah setelah sering diasak dari pelbagai sudut.

Beliau berjanji bahawa UMNO bakal membuat beberapa perubahan polisi dalam parti berkaitan isu politik, pendidikan dan agama untuk menurut permintaan rakyat.