Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan semua pihak termasuk pemimpin dan jentera Barisan Nasional (BN) di negeri ini untuk segera melupakan perpecahan dalaman bagi mengelakkan insiden sabotaj calon yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke14 (PRU14) nanti.

Beliau berkata, semua pihak adalah dinasihatkan supaya akur kepada keputusan pucuk pimpinan selain menyokong calon yang dipilih bagi memenangi PRU-14 serta meningkatkan majoriti sedia ada.

Merujuk kepada keputusan PRU13 yang lalu bagi Parlimen Tenom, beliau secara berseloroh mendakwa terdapat undi rosak direkodkan berlaku di kawasan itu dan Ahmad Zahid mencabar jentera BN di parlimen berkenaan supaya memperbaiki keadaan itu supaya memperolehi kemenangan mutlak pada pilihan raya kali ini.

"Jangan ada yang sabotaj sebab saya tengok dulu berapa undi rosak pilihan raya umum yang ke 12 saya tengok ni jangan boleh-boleh undi rosak, jangan.

" Saya tengok betul ada disini, ketika PRU13 undi rosak adalah 1,258 dan pilihan raya umum ke-12 pula, undi rosak 934 di mana ertinya naik 324 undi rosak bukan undi menang... jangan main-main sama saya, jangan protes, jangan sabotaj.

" Bila kita komited perlu sokong calon-calon BN kita tidak mahu undi rosak, kita tidak mahu sabotaj dari dalaman kita tidak mahu tukang cucuk di kalangan kita kerana siapa pun jadi calon, calon Barisan Nasional harus kita menangkan dengan majoriti undi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap bersempena perasmian Pesta Kalimaran Peringkat Negeri Sabah 2018 di Padang Pekan Tenom, hari ini.

Hadir sama adalah Presiden Persatuan Murut Sabah (PMS) merangkap ADUN Kemabong, Datuk Rubin Balang, penyandang Ahli Parlimen Tenom; Datuk Ramie Ungi dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Seramai 10,000 orang hadir dalam pesta berkenaan yang disambut oleh suku kaum murut di daerah terbabit setiap tahun.

Untuk rekod, daerah Tenom memperuntukkan sebuah kerusi parlimen yakni P 181 dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N35 Melalap dan N36 Kemabong dimana ketiga-tiga kerusi itu adalah milik penyandang daripada Parti BN.

Dalam keputusan PRU-13, penyandang kerusi Parlimen P. 181 Tenom, Datuk Raimie Unggi (BN) menang dengan majoriti 3,386 selepas berdepan empat pencabar daripada parti pembangkang.

Sementara itu, Ahmad Zahid berjanji BN akan memastikan daerah Tenom terus dimajukan sekiranya diberikan mandat semula pada PRU-14.

Katanya, antara agenda pembangunan yang bakal dilaksanakan adalah termasuk pembinaan jalan raya yang menghubungkan dua daerah di antara Melalap (Tenom) dan Membakut (Kimanis).

"Jalan raya Melalap ke Membakut yang memorendumnya akan dihantar oleh Chinese Chamber of Commerce saya akan tengok, bukan tengok sahaja bagi menang dulu parlimen bagi menang kedua-dua dewan undangan negeri saya akan beritahu dengan EPU (Unit Perancangan Ekonomi) supaya segerakan pelaksanaannya selepas pilihan raya.

" Ertinya sesiapa pun akan jadi calon parlimen atau dewan undangan negeri jika undi kita menang dan kita tolak mana-mana calon pembangkang maka perlaksanaan jalan ini akan disegerakan," katanya.