Penduduk di dua kawasan Parlimen di bandar raya Kuching, Sarawak, berbeza tahap kepuasan mereka terhadap program kesejahteraan hidup rakyat yang dilaksanakan oleh kerajaan, bergantung kepada beberapa faktor.

Sebagai contoh, sambutan rakyat terhadap inisiatif kerajaan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) di Parlimen Kuching kurang memberangsangkan berbanding mereka di Parlimen Petra Jaya.

Demikian sebahagian hasil kajian yang dibuat oleh Panel Penyelidik Universiti Malaya daripada Julai hingga Disember 2017, melibatkan 1,550 orang di 12 kawasan Parlimen seluruh negara.

Menurut Ketua Panel, Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi, walaupun Parlimen Bandar Kuching dan Parlimen Petra Jaya berada di bawah daerah yang sama, terdapat jurang yang besar dari segi tahap kepuasan rakyat di sana.

Beliau beranggapan, faktor “pengundi ekonomi” dan perbezaan ekonomi antara kedua-dua kawasan Parlimen itu merupakan punca utama berlakunya jurang itu.

“Daerah Kuching terbahagi kepada dua kawasan, iaitu Kuching Selatan dan Kuching Utara. Di kawasan selatan, di mana terletaknya Bandar Kuching, majoriti penduduknya ialah kaum Cina.

“Di mana-mana sahaja di Malaysia, kaum Cina banyak menguasai ekonomi. Oleh itu, mereka kurang menggunakan bantuan yang diberikan kerajaan kerana mempunyai pendapatan yang tinggi,” kata beliau yang turut menjelaskan, pengundi ekonomi membawa maksud pengundi berasaskan kegiatan ekonomi.

Awang Azman menambah, dapatan kajian mendapati, penduduk Bumiputera yang tertumpu di Petra Jaya adalah terdiri daripada golongan berpendapatan rendah dan bantuan kerajaan seperti BR1M atau KR1M adalah sangat penting.

“Di Kuching pula, terdapat banyak institusi pendidikan swasta. Pelajar kebanyakannya berasal daripada keluarga yang berkemampuan dan itu menyebabkan mereka kurang menggunakan bantuan seperti Kad Siswa 1Malaysia,” jelasnya kepada Astro AWANI.

Sementara itu, penganalisis politik Universiti Malaysia Sarawak, Dr Jeniri Amir berpendapat, jurang kepuasan rakyat terhadap bantuan kerajaan adalah disebabkan faktor ahli Parlimen itu sendiri.

Ahli Parlimen Kuching adalah Chong Chieng Jen daripada DAP yang menyandang jawatan itu sejak 2004, manakala ahli Parlimen Petra Jaya ialah wakil Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof, yang juga Menteri Kerja Raya.

“Bagi saya, Chong kurang menyelami perasaan rakyat tetapi sekadar banyak bercakap dan mengkritik dasar-dasar yang ada.

“Berbeza dengan Fadillah, beliau turun ke padang hampir setiap minggu dan mempunyai unsur ‘sentuhan rakyat’ dalam memenuhi keperluan penduduknya,” katanya lagi.

Kajian ini dijalankan oleh panel penyelidik daripada Universiti Malaya yang diketuai oleh Prof.Madya. Dr. Awang Azman Awang Pawi

Menyentuh mengenai BR1M, data kajian mendapati, 21 peratus penduduk Bandar Kuching berpuas hati dengan bantuan itu sementara di Petra Jaya, 34 peratus yang berpuas hati.

Di Kuching pula, 44 peratus penduduk berpuas hati dengan perkhidmatan KR1M manakala di Petrajaya, 74 peratus.

Seramai 72 peratus rakyat Petra Jaya menyambut baik usaha kerajaan dalam membina Perumahan Rakyat 1Malaysia tetapi sebaliknya, hanya 24 peratus penduduk di Kuching menyambut baik usaha itu.

Penggunaan Kad Diskaun 1Malaysia dan Kad Siswa 1Malaysia pula menerima respon positif dari penduduk Petra Jaya, masing-masing pada 54 peratus dan 61 peratus.

Bagaimanapun, hanya 19 peratus penduduk di Kuching yang berpuas hati dengan Kad Diskaun Rakyat 1Malaysia dan 23 peratus bagi Kad Siswa 1Malaysia.

Diminta mengulas mengenai masa depan kedua-dua ahli Parlimen itu, kedua-dua penganalisis politik berpendapat, mereka masih mampu mengekalkan kedudukan pada pilihan raya umum akan datang.