"Saya rasa kali ini Parlimen Kuantan bukan lagi kubu kuat pembangkang, kalau kita tengok masa penamaan calon nampak kurang sokongan. Sebab itu, saya yakin Barisan Nasional (BN) mampu merampas kembali Parlimen Kuantan," kata calon BN bagi kerusi Parlimen Kuantan, Datuk Andrew Wong Kean Hwee.

Pegawai Khas Menteri Pengangkutan itu berkata, pengundi pada hari ini sudah bijak menilai dengan memberi sokongan kepada parti yang boleh membela nasib mereka.

Malah kata beliau, isu yang dimainkan pembangkang seperti isu alam sekitar yang membabitkan Lynas dan kos sara hidup sudah lapuk serta tidak releven untuk digunakan pada masa kini.

"Rakyat kini semakin terbuka dan tahu memperhalusi sesuatu perkara berhubung isu-isu semasa yang berlaku di daerah ini.

"Jadi peluang yang ada ini BN perlu gunakan sebaiknya untuk merampas kembali kerusi yang pernah dimenangi suatu ketika dahulu," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12), calon PKR, Fuziah Salleh menewaskan calon BN daripada MCA, Datuk Fu Ah Kiow dengan majoriti 1,826 undi manakala pada PRU13 pula UMNO kembali bertanding di kerusi berkenaan menerusi calonnya, Datuk Sufian Awang namun masih gagal merampas Parlimen Kuantan yang sekali lagi dimenangi Fuziah.

Andrew berkata, hampir 10 tahun Parlimen Kuantan diterajui pembangkang, namun tiada sebarang pembangunan dilaksanakan di kawasan ini.

"Banyak masalah penduduk pembangkang tidak dapat selesaikan. Jadi situasi ini sudah pun dilalui rakyat dan pasti mereka tahu pentingnya memilih pemimpin daripada BN.

"Sebab itu kalau calon BN dipilih untuk menjadi wakil rakyat, kita boleh gunakan kekuatan dan sistem sedia ada untuk mendapatkan sumber kewangan serta bantuan daripada pelbagai agensi berbanding pembangkang," katanya.

Justeru, beliau berharap pengundi di Parlimen Kuantan dapat membuat keputusan yang betul dalam memilih pemimpin yang boleh menyelesaikan masalah setempat.