Pas bakal menurunkan calon di sembilan kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan, Mohd Noor Mohamad berkata senarai calon itu akan diumumkan pada 19 April nanti.

"Kawasan-kawasan yang bakal ditandingi adalah Batu, Wangsa Maju, Setiawangsa, Titiwangsa, Segambut, Lembah Pantai, Bandar Tun Razak, Putrajaya dan Labuan.

"Kami yakin Pas mampu mencipta kejutan di sini (PRU14)," kata Mohd Noor selepas pengumuman Manifesto Pas Wilayah Persekutuan di Putrajaya malam ini.

Antara janji utama dalam manifesto itu termasuk penstrukturan pendidikan agama, tuisyen percuma bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, menjadikan Wilayah Persekutuan bebas jenayah serta menggalakkan keusahawanan wanita.

Pada PRU13, Pas yang berada dalam Pakatan Rakyat ketika itu telah menurunkan dua wakil di Parlimen dalam Wilayah Persekutuan iaitu Titiwangsa dan Putrajaya.

Mereka telah tewas di kedua-dua kerusi tersebut.