Pemuda Gerakan buat laporan polis isu MH17

Pemuda Gerakan buat laporan polis isu MH17
Sebuah kasut kelihatan di kawasan kejadian nahas Penerbangan MH17 di Ukraine. - AFP Photo/ Dominique Faget
GEORGE TOWN: Ketika seluruh rakyat Malaysia dan dunia melahirkan rasa sedih dan simpati terhadap insiden pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17, masih ada individu yang tidak sensitif dengan kejadian itu.

Pemuda Gerakan Pulau Pinang hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan isteri kepada Anggota Parlimen Tanjong, Yuki Tan berhubung insiden MH17 terhempas di Ukraine pada Khamis.

Yuki Tan dalam laman Facebooknya memuat naik status: "Malaysia Negara Menggerunkan, Apa Jenis Negara Yang Tidak Berguna Ini" dalam Bahasa Mandarin.
Ketua Pemuda Batu Kawan J. Puspanathan membuat laporan itu di Balai Polis Bandar Perda, Seberang Perai Tengah petang tadi.

Puspanathan menyifatkan tindakan itu sebagai biadap, kurang ajar dan tidak bertanggungjawab serta menganggap ungkapan itu hanya mengeruhkan lagi keadaan dan menunjukkan sikap tidak cintakan negara.

"Walaupun dia sudah memohon maaf, kami percaya pihak polis seharusnya mengambil tindakan yang sewajarnya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine, berdekatan sempadan Rusia pada malam Khamis.

Pesawat malang itu membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal.

Media asing melaporkan pesawat Boeing 777-200 itu dipercayai ditembak jatuh namun sehingga kini tiada siapa yang tampil mengaku bertanggungjawab terhadap insiden itu.