Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin Datin Mastura Mohd Yazid dan Budiman Mohd Zohdi, yang mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat hari ini, akan berkhidmat dengan cemerlang untuk rakyat.

Budiman dan Mastura masing-masing mengangkat sumpah sebagai Anggota Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang baharu pada Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-13 yang bermula hari ini.

Perdana Menteri turut mengucapkan tahniah kepada kedua-dua Anggota Parlimen itu menerusi catatan terbaharunya dalam laman Facebook rasmi beliau.

"Tahniah dan selamat menjalankan tugas saya ucapkan kepada Datin Mastura Mohd Yazid dan Budiman Mohd Zohdi yang mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat tadi," kata Najib.

Budiman, 44, menang dengan majoriti 9,191 undi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar manakala Mastura, 55, mengekalkan kerusi Parlimen Kuala Kangsar, yang sebelum ini disandang suaminya Allahyarham Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, dengan majoriti 6,969 undi.

PRK Sungai Besar dan PRK Kuala Kangsar pada 18 Jun lepas diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Noriah Kasnon dan Wan Mohammad Khair-il Anuar dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas. - BERNAMA