Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiktiraf sebagai Bapa Pembangunan Masyarakat India oleh MIC hari ini.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata Datuk Seri Najib telah banyak memberi sumbangan kepada masyarakat India termasuk mewujudkan Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

"Terima kasih kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Najib yang merupakan Bapa Pembangunan kepada masyarakat India di negara ini kerana sudi hadir merasmikan Mesyuarat Agung MIC hari ini.

"MIB dapat direalisasikan atas kesungguhan dan komitmen YAB Perdana Menteri yang amat prihatin terhadap masyarakat India di Malaysia.

"Inilah kali pertama seorang Perdana Menteri secara langsung turun padang melancarkan satu pelan tindakan khusus untuk masyarakat India di negara ini," katanya ketika menyampaikan ucapan dasar pada perasmian Perhimpunan Agung MIC Ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Sementara itu, perdana menteri berkata walaupun beliau tidak mempunyai pertalian darah kaum India, namun beliau menghargai pengiktirafan itu.

Malah kata Najib usaha pembangunan masyarakat India dibuat sebelum beliau menjadi perdana menteri lagi.

"Sewaktu Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) menjadi perdana menteri, dengan izin beliau saya menggerakkan inisiatif menubuhkan jawatankuasa kabinet mengenai hal ehwal orang India.

"Walaupun ayah saya, datuk saya bukan dari Kerala, tetapi saya digelar Bapa Pembangunan (masyarakat) India," katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 5,000 orang yang memenuhi dewan berkenaan.