Dr Ahmad Termizi Ramli menyifatkan parti PAS bukanlah lawannya serta tidak lagi relevan pada masa kini.

Calon Parti Amanah Negara (Amanah) Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar itu menyifatkan PRK di sini dan Sungai Besar merupakan pertembungan dua penjuru antara beliau serta calon Barisan Nasional (BN), Mastura Mohd Yazid.

"Kita bertanding dengan BN, bukan dengan PAS. Tiada kepentingan untuk kita (menentang PAS). Bukan fokus kita, kita bertanding untuk mengalahkan BN.

"Kita (Amanah) tidak anggap PAS musuh, kita anggap PAS tidak relevan. Bagi kita tumpuan kita adalah BN, dia (BN) yang menimbulkan onar dalam negara kita, maaf kalau bunyinya kasar, dan dia (BN) perlu diberikan rehat.

"Kami parti bersama dalam Pakatan Harapan menganggap PRK di kedua-dua kerusi ini adalah pertandingan dua penjuru sahaja," katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Menurutnya lagi, undi yang diterima PAS di Kuala Kangsar pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu merupakan undi rakyat kepada Pakatan Rakyat dan bukan kepada PAS.

Justeru, katanya PRK kali ini menjadi platform kepada Amanah untuk meraih semula undi tersebut.