Calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi pilihan raya kecil (PRK) Kuala Kangsar, Dr Ahmad Termizi Ramli hari ini menyatakan pendirian penuh untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai ketua negara.

Katanya, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, beliau akan menyokong penyingkiran Pengerusi Barisan Nasional itu daripada jawatannya kini.

Katanya, penyingkiran Perdana Menteri Malaysia itu merupakan sebahagian daripada pengajaran politik terhadap rakyat di mana rakyat tidak wajar takut menggantikan pemimpin yang betul.

"Ini adalah kerana, Najib telah membawa banyak kerosakan kepada negara. Sebagai pemimpin, beliau perlu dipertanggungjawabkan ke atas segala kerosakan yang dilakukan beliau termasuk yang terbesar setakat ini.

"Pada masa sama, pemimpin perlu diajar takut kepada rakyat, khususnya sekiranya mereka melakukan penyelewengan," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Bagaimanapun, Dr Termizi tidak bersetuju bahawa penyingkiran Najib akan menyelamatkan UMNO dan Barisan Nasional.

Katanya, kedua-dua perkara itu tidak boleh dilihat secara berasingan dan menambah bahawa kerosakan yang dilakukan Najib adalah atas kegagalan UMNO dan Barisan Nasional.

Tambahnya, kedua dua entiti ini telah menjadi parti politik yang sekadar menjaga kepentingan peribadi dan bukan kepentingan rakyat.

"Najib mampu bertindak begini oleh kerana UMNO/BN telah menjadi parti yang gagal dan tidak berfungsi demi rakyat mahu pun orang Melayu.

"Oleh itu penyingkiran Najib tidak akan menyelamatkan UMNO sebaliknya ia akan menjadikan rakyat lebih berani untuk membawa perubahan," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa 10 tuntutan kumpulan pemantau pilihan raya Bersih merupakan sebahagian daripada pendirian dirinya dan Amanah yang konsisten sejak dari dulu.

"Saya lihat bahawa 10 tuntutan Bersih adalah agak menyeluruh dan boleh membantu mengatasi ketidakadilan sistem pilihan raya sekarang.

"Termasuk dalam persoalan ini adalah, sistem ‘first past the post’ yang diamalkan sekarang perlu dikaji dan ditukar kepada sistem pilihan raya ‘proportional representation’ sebagai satu alternatif yang lebih adil," katanya lagi.