Petugas media yang sedang membuat liputan pengundian awal hari ini digemparkan kononnya berlaku rusuhan di Bilik Gerakan Utama Pakatan Harapan (PH) berhampiran PD Waterfront, dekat sini.

Beberapa petugas media yang menerima khabar menerusi aplikasi WhatsApp, bergegas ke lokasi kejadian dan menyedari maklumat itu palsu apabila tiada apa-apa berlaku seperti yang didakwa.

Petugas Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang tiba awal di lokasi untuk menghadiri sidang media harian PH mendapati tiada sebarang insiden rusuhan berlaku di kawasan sekitar.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson DSP Mohd Faisal Mohd Noor menafikan berlaku sebarang insiden rusuhan di Bilik Gerakan Utama PH.

Beliau berkata polis yang menerima laporan kejadian itu daripada orang awam pada 10.55 pagi menghantar satu Pasukan Cantas Polis Diraja Malaysia (PDRM) bawah seliaan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) negeri untuk memantau keadaan.

"Kita terus ke lokasi kejadian dan tiba pada 11.05 pagi. Kita mendapati tiada kejadian rusuhan berlaku," katanya kepada Bernama di sini.

Dalam perkembangan lain, tinjauan Bernama mendapati proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson berjalan lancar.

-- BERNAMA