POLITICS
MPN yakin Agong dapat tangani kemelut politik

Presidennya MPN Profesor Datuk Dr Raduan Che Rose berkata Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan Proklamasi Darurat dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) jika tiada seorang Ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Teka teki siapa yang akan menerajui tampuk pemerintahan negara masih menjadi tanda tanya.
Pertemuan demi pertemuan diadakan pemimpin parti politik untuk mendapatkan sokongan majoriti sebelum nama calon Perdana Menteri ke-9 dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Ketika kemelut politik yang masih belum dilihat pengakhirannya, Majlis Profesor Negara (MPN) pula berpendapat segala persoalan itu dapat diselesaikan atas kebijaksanaan dan kearifan Yang di-Pertuan Agong.
Menurut satu kenyataan media dikeluarkan Presidennya, Profesor Datuk Raduan Che Rose pada Selasa, MPN menzahirkan keyakinan bahawa Baginda boleh menitahkan Proklamasi Darurat dan menubuhkan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) jika tiada seorangpun Ahli Dewan Rakyat mendapat sokongan majoriti.
"Di dalam keadaan itu, MPN amat yakin bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh menitahkan Proklamasi Darurat dan selanjutnya menubuhkan Majlis Gerakan Negara yang boleh dipengerusikan oleh tokoh kepimpinan negara yang diperkenankan oleh Baginda.
"Sebaiknya, tokoh itu merupakan individu yang mempunyai pengalaman pentadbiran yang luas, dihormati dan diterima semua pihak dan tidak kurang pentingnya tiada cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri melalui PRU-15 kelak," jelas Presiden MPN itu.
Tambahnya, langkah itu bagi memastikan situasi pandemik COVID-19 yang sedang memuncak, serta kedudukan ekonomi negara yang kritikal dapat diuruskan.
Malah langkah sementara itu, boleh dilaksanakan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sesuai diadakan bagi penubuhan kerajaan demokratik berparlimen mengikut Perlembagaan.
"MPN yakin bahawa di bawah Proklamasi Darurat, pihak yang berkuasa boleh membuat beberapa ordinan yang penting bagi membolehkan Suruhjaya Pilihan Raya (SPR) merancang dan melaksanakan PRU-15 dengan SOP yang bersesuaian langkah mencegah penularan COVID-19.
"Jika SOP baharu ini dapat dirangka dan bersedia untuk dikuatkuasakan, maka Perdana Menteri Interim atau MAGERAN yang ditubuhkan akan menjalankan tugasnya bagi tempoh yang terhad sehingga PRU-15 dapat dijalankan," jelasnya lagi.
MPN katanya turut berharap agar kerajaan yang dibentuk selepas PRU-15 akan lebih kukuh, stabil dan berwibawa untuk meningkatkan tahap kehidupan rakyat dan memulihkan semula ekonomi negara.
Kepimpinan kerajaan baharu juga jelasnya mesti mengusahakan membina semula permuafakatan politik nasional demi kestabilan politik jangka masa panjang.
"Permuafakatan politik nasional ini haruslah melibatkan semua kelompok utama masyarakat dan pemegang taruh dalam negara termasuklah kepentingan masyarakat di Sabah dan Sarawak.
"Perkara ini amat penting diberikan perhatian kerana Malaysia memerlukan satu 'Konsensus Nasional' dicapai demi membangunkan semula satu Demokrasi Konstitusi yang mantap.
"Ia sekali gus dapat melahirkan satu 'grand national coalition' yang mewakili semua kepentingan dan kelompok-kelompok utama dalam negara." jelasnya lagi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami