Tutup

PRK PD: 'Saya bukan nak menghantui karier politik Anwar' - Saiful Bukhari

PRK PD: 'Saya bukan nak menghantui karier politik Anwar' - Saiful Bukhari
Katanya, keputusan bertanding di PRK ini adalah kerana tidak setuju dengan tindakan PKR mengosongkan kerusi Port Dickson semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar. - Gambar fail
PORT DICKSON: Calon bebas Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson Saiful Bukhari Azlan berkata beliau tidak berniat untuk "menghantui karier politik" Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, keputusan bertanding di PRK ini adalah kerana tidak setuju dengan tindakan PKR mengosongkan kerusi Port Dickson semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar.
"Pakatan Harapan kata mereka menentang penyelewengan dan pembaziran tetapi pada masa sama mereka menggunakan pilihan raya ini, dimana menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), menelan belanja RM3.6juta.

"Jadi RM3.6juta ini duit siapa? Ini duit kerajaan, maksudnya duit rakyat.
"Apa justifikasi menggunakan duit rakyat untuk mengangkat agenda peribadi seseorang?" katanya dalam temubual bersama Astro AWANI hari ini.

Sementara itu, apabila ditanya mengenai dakwaan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ada campur tangan dengan keputusannya bertanding, Saiful berkata dakwaan itu tidak benar.

Tegasnya, keputusan bertanding dibuatnya sendiri tanpa mana-mana pihak memberi nasihat.

"Malah, ada yang nasihat saya untuk tidak bertanding sebenarnya," katanya.