Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan terus mempertingkatkan pemantauan perjalanan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sandakan selepas masih ada parti dan calon melanggar peraturan pilihan raya.

Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar berkata, antara kesalahan termasuk melakukan ceramah tanpa permit dan khianat terhadap bahan kempen calon lawan.

"Secara keseluruhannya, semua berjalan dengan baik. Cuma masih berlaku pelanggaran kepada peraturan-peraturan perjalanan pilihan raya.

"Itu sentiasa dipantau bersama oleh pasukan penguatkuasa kita dan pihak polis serta Majlis Perbandaran Sandakan dan itu akan berterusan.

"Apabila berlaku kesalahan-kesalahan ini, kita akan rekod yang mana kita turut minta orang awam atau mana-mana pemerhati yang melihat kesalahan pelanggaran pilihan raya, kita jemput mereka membuat laporan polis berserta maklumat yang lengkap supaya siasatan boleh dibuat oleh pihak polis," tegasnya selepas memantau perjalanan proses pengundian awal di Ibu Pejabat Polis Sandakan di sini hari ini.

Justeru, beliau menasihati parti, calon dan mereka yang berkempen supaya sentiasa mematuhi segala peraturan yang ada.

Mengulas berkenaan perjalanan undi awal, Mohamed Elias berkata ia berlangsung dengan tenang dan teratur seperti yang dirancang oleh SPR.

Seramai 270 pengundi awal melibatkan anggota polis layak untuk mengundi di dua pusat pengundian iaitu di Pangkalan Polis Marin Sandakan dan IPD Sandakan.

Sehingga 11 pagi ini, sebanyak 72 peratus pengundi awal telah keluar mengundi.