PADANG TERAP: Strategi meletakkan anggota polis dalam kelompok penyokong yang menyertai perarakan membawa calon berhasil apabila tiada sebarang insiden atau kekecohan berlaku.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, seramai seramai 2,443 pegawai dan anggota digerakkan untuk penugasan di semua tempat penamaan calon di 15 Parlimen di negeri ini, hari ini.

“Kejayaan yang kita nampak hari ini adalah ekoran daripada kawalan kita yang ketat… kita telah menempatkan pegawai-pegawai dan anggota di celah-celah laluan di antara penyokong-penyokong dan kita dapat maklumat-maklumat awal supaya kita dapat cantas daripada awal.

“Didapati bahawa keberkesanan itu adalah begitu ketara dan mendapati bahawa semua di 15 tempat penamaan calon hari ini berjalan lancar tidak ada apa insiden yang tidak baik berlaku,” kata beliau kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau Pusat Penamaan Calon di Pejabat Daerah Padang Terap, di sini, hari ini.

Sementara itu, Wan Hassan memaklumkan, sebanyak 11 pasukan ‘Op Cantas’ ditugaskan di lima kawasan panas iaitu di Kota Setar, Langkawi, Kubang Pasu, Sungai Petani dan Baling.

Katanya, skuad ini akan merakamkan ceramah politik dan memantau calon yang berkempen bebas daripada elemen provokasi.

“Bagi daerah kecil ada satu team perakam tetapi bagi daerah besar seperti Sungai Petani, Alor Setar dan sebagainya kita ada dua team perakam dalam ceramah-ceramah tertentu kita juga melihat kepada siapa penceramah tersebut.

“Sebelum ini, penceramah-penceramah yang datang itu dijangka membawa isu-isu yang boleh mendatangkan sensitiviti (justeru) kita akan fokus, rakam apa isi kandungan dan sebagainya yang boleh membawa kepada permasalahan sebagainya dan tindakan lanjut akan diambil,” tegas Wan Hassan lagi.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan setiap calon atau penceramah yang berkempen sekiranya melakukan kesalahan, mereka berhadapan dengan tindakan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5) termasuk kesalahan pemalsuan nama atau kertas undi, mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan di bawah Seksyen 3, 4 dan 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya.