Calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan menafikan beliau ada memberi tanah kepada beberapa individu semasa menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Menurut Mohamad, beliau tidak mempunyai kuasa ke atas tanah kerana ia terletak di bawah exco yang bertanggungjawab.

“Walaupun saya menteri besar, saya tidak mempunyai kuasa sebagai pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa negeri adalah exco.

“Saya tak pernah luluskan tanah secara peribadi atas nama menteri besar. Apa sahaja fail-fail akan dibawa oleh pihak Pejabat Tanah melalui Pejabat Tanah dan Galian (PTG). PTG akan bawa fail tersebut dengan semua komen-komen.

"Seingat saya, apa sahaja kalau Jabatan Teknikal beri komen tidak menyokong, kita jarang luluskan,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau, dekat sini.

Terdahulu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Zulkefly Mohamad Omar dalam ceramahnya malam tadi mendakwa akan mendedahkan individu yang menerima tanah daripada Mohamad semasa beliau menjadi Menteri Besar Negeri Sembilan.

Dakwanya, beliau akan berbincang dengan Yayasan Negeri Sembilan untuk merampas semua tanah-tanah itu daripada individu terlibat.

“Rampaslah, buat apa yang patut. Kalau ada perkara-perkara yang menyalahi undang-undang, kerajaan boleh buat apa sahaja.

“Tapi mesti faham tentang Kanun Tanah Negara; dalam negara kita, mengikut Sistem Torrens.

“Tak ada sesiapa mempunyai hak di atas suatu bidang tanah melainkan tuan punya tanah. Kalau dah nama dia, kerajaan negeri tak boleh sewenang-wenangnya merampas tanah,” katanya.

Tambah Mohamad, pampasan perlu dibayar kepada pemilik tanah sekiranya kerajaan berkeras untuk merampasnya daripada pemilik asal.

“Kalau dia nak ambil balik tanah itu, dia kena bayar pampasan. Tetapi saya harap supaya cakap-cakap dia itu, dia buatlah ya. Jangan pakai cakap saja.

"Rampaslah tanah-tanah yang dia nak rampas. Jangan cakap sahaja untuk menimbulkan banyak prasangka dan banyak persoalan,” jelasnya.

Mohamad juga tidak bimbang jika isu berkenaan akan mengganggu kelancaran kempen parti.