Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan dakwaan berlaku pembelotan oleh parti dalam Pakatan Harapan (PH) hanya khabar angin.

Sebaliknya tegas beliau, setiap parti dalam kerajaan dilihat bersatu.

Malah, beliau yang juga Ketua Setiausaha Sekretariat PH menjelaskan, perbincangan antara pemimpin parti dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan diadakan dalam suasana mesra.

“Pakatan Harapan masih bersatu dan kami tidak dengar lagi berlaku pembelotan, dan lagi pula dakwaan itu dari sumber yang tidak sahih. Majlis Presiden PH yang berlangsung setiap Jumaat yang pertama setiap bulan berlangsung mesra dan tidak ada isu ditimbulkan,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan ke Rohingya Education Centre Klang di sini pada Selasa.

Apa yang penting tumpuan PH kini adalah untuk menang Pilihan Raya DUN Semenyih dan bukan dakwaan seumpama itu.

“Jadi saya anggap ini khabar angin dari sumber yang tak dapat dipastikan. Yang penting ialah PH bersatu dan jentera PR berjalan lancar dan kita tumpu kepada usaha mempertahankan kerusi itu,” tambahnya.

Sebelum ini,Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan isu kononnya berlaku pembelotan dalam PH hanya dipergunakan Pas untuk mengelak siasatan menerima dana RM90 juta.