Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyatakan sokongan kepada sesiapa sahaja yang bertanding bagi apa-apa jawatan pada pemilihan parti itu Ogos ini.

Ujarnya, beliau mengalu-alukan pertandingan bagi semua jawatan seiring prinsip demokrasi yang diamalkan parti itu.


“Saya sokong semua (yang bertanding) dalam PKR. Saya rasa amalan demokrasi memang kita ketengahkan. Ia sebagai satu amalan yang sihat.

“Saya kira pertandingan membuatkan parti kita lebih berkembang dan naikkan semangat anak muda,” ujarnya kepada media pada Majlis Jamuan Teh bersama Rakyat di Bilik Gerakan Utama PKR, Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada menyokong bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang menyatakan hasrat bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan kali ini.

Tambahnya, perlu wujud kombinasi pemimpin baharu dan lama dalam memastikan kualiti hidup rakyat dapat dipertingkat.

“Kita mahukan muka baru dan muka lama. Itu penting kerana kalau kita lihat pada PRU lalu, ramai muka baru, yang lama pun ada, yang lama-lama pun ada.

“Kita rakyat Malaysia perlukan yang lama dan yang baru kerana kesinambungan itu penting. Yang paling penting adalah untuk kita meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab cadangan ahli-ahli PKR di peringkat ranting yang mahukan lebih ramai muka baharu ditampilkan dalam kepimpinan parti itu.