Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini menzahirkan hasrat baginda untuk Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melaksanakan tugas secara profesional, telus lagi berintegriti.

Titah baginda agar semua pihak wajib memberikan kerjasama untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya, sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

Berikut adalah titah penuh Sultan Nazrin sewaktu pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Perak ke-13 di Istana Iskandariah, di sini hari ini.



Yang Amat Berhormat Menteri Besar, Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir telah menghadap dan memohon perkenan Beta, membubarkan Dewan Negeri Perak Ketiga Belas. Setelah menimbangkan permohonan tersebut, berpandukan, Perkara XXXVI (2), Bahagian Pertama, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, Beta memberi perkenan, Dewan Negeri Perak Ketiga Belas dibubarkan berkuat kuasa hari ini, 9 April 2018.

2.​ Beta menzahirkan penghargaan atas perkhidmatan Yang Amat Berhormat Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry bin Abd. Kadir memimpin Kerajaan Beta sejak 7 Mei 2013, setelah mendapat perkenan Beta untuk mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perak.

Beta juga menzahirkan penghargaan kepada ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri begitu juga kepada semua ahli Dewan Negeri Perak Ketiga Belas yang telah menyempurnakan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

3.​ Selaras dengan Perkara 113(1) Perlembagaan Persekutuan, penentuan tarikh mengadakan pilihanraya umum kali keempat belas terletak di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihanraya. Pilihanraya adalah satu proses yang memberi hak dan peluang kepada warga untuk memilih kerajaan. Hak dan peluang warga ini wajib dihormati - wajib dihargai, dan tidak dinafikan. Demi memastikan kelangsungan pilihanraya yang tidak dipertikaikan, Suruhanjaya Pilihanraya hendaklah melaksanakan tugas secara profesional, telus lagi berintegriti. Semua pihak wajib memberikan kerjasama untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya, sebaik mungkin melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

4.​ Berlatar belakangkan pengalaman tiga belas kali pilihanraya umum sebelum ini, warga wajib mempamerkan kebijaksanaan berpolitik dengan mengamalkan budaya demokrasi secara matang. Parti-parti politik terutama barisan pimpinan politik hendaklah mencerminkan sifat penuh bertanggungjawab, pada setiap masa mengutamakan aspek-aspek keselamatan, ketenteraman awam dan perpaduan warga.

Dalam hasrat dan dalam usaha mahu mendapatkan sokongan pengundi, isu-isu sensitif menyentuh agama, kaum, budaya dan bahasa, yang boleh menjejaskan hubungan harmoni dan perpaduan, hendaklah tidak disensasikan hingga ke peringkat, berpotensi mencetuskan sentimen permusuhan dan rasa kebencian di antara warga. Pada setiap masa, wajib dipelihara dan wajib dipastikan, tidak diucap sebarang perkataan, dan tidak dilakukan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan persengketaan di antara warga. Keselamatan negara dan ketenteraman awam terlalu berharga untuk dikorbankan disebabkan matlamat politik jangka pendek.

BACA: Terima kasih rakyat Perak dan maafkan kami - Zambry

5.​ Tugas-tugas Pasukan Keselamatan jangan sama sekali disulitkan dan ditambahkan bebanan dengan mencetuskan perkara-perkara yang boleh menjejas ketenteraman awam. Pihak penguatkuasaan undang-undang perlu mengambil tindakan tegas – tindakan pantas, terhadap sebarang perbuatan daripada mana-mana pihak yang boleh menjejas ketenteraman awam. Integriti pihak penguatkuasaan undang-undang hendaklah dipelihara dengan mempamerkan amalan penguatkuasaan berlandaskan undang-undang secara adil – secara saksama, yang tidak memihak dan tidak mempamerkan sikap partisan kepada mana-mana kumpulan, dan berpegang kepada prinsip kesetiaan kepada Raja dan Negara.

6.​ Beta menyeru kepada semua pihak dan setiap warga untuk membantu menjamin berlangsungnya proses pilihan raya dalam keadaan aman dan tenteram, berteraskan semangat meluhurkan Perlembagaan, mendaulatkan undang-undang, serta kesopanan dan kesusilaan.

Apa juga penentuan yang menjadi pilihan rakyat, berpeganglah kepada prinsip kepercayaan kepada Tuhan. Bahawa segala yang berlaku dan tidak berlaku, dan apa jua pencapaian atau tidak pencapaian rancangan, adalah di bawah penentuan ILAHI, dengan mengimbas peringatan akan nasihat Nabi Musa Alaihissalam kepada kaumnya seperti yang terkandung dalam ayat 128 Surat Al A’raaf yang bermaksud:

“Musa berkata kepada kaumnya: Mohonlah pertolongan kepada ALLAH dan bersabarlah; sesungguhnya bumi ini kepunyaan ALLAH; diwariskannya kepada sesiapa yang dikehendaki Nya daripada hamba-hamba Nya; dan kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa.”

7.​ Semoga ALLAH Subhanahu Wata’ala terus melimpahkan rahmat, kesejahteraan dan perlindungan untuk kelangsungan sebuah negara Malaysia yang merdeka lagi berdaulat dan warganya hidup dalam rukun dan damai serta dilimpahkan kemakmuran dan kesejahteraan. Amin, Ya Rabul Alamin.