Semangat juang Tun Dr Mahathir Mohamad harus sentiasa diterap dan dikaitkan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, ia bukti ciri-ciri Pengerusi Bersatu itu sentiasa berkait rapat dengan kewujudan parti itu sendiri.

"Pertama, (Tun Mahathir) tahan lama umur 93 tahun, antara kita belum tentu lagi. Dia tidak pernah luntur semangat juang untuk bangsa Melayu, Islam dan rakyat Malaysia.

"Tun (Mahathir) sentiasa memberi ruang dan pandangan daripada pihak lain, kemudian dia fikir dalam-dalam, buat keputusan dan bertanggungjawab kepada keputusan itu

"Tun M sentiasa meletakkan kepentingan umum mengatasi kepentngan peribadi. Adakah kita sanggup korbankan segala-galanya untuk Melayu dan Islam?" soalnya.

Mukhriz berkata demikian semasa penggulungan Timbalan Presiden sempena Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2018 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu Muhkriz memberitahu, Bersatu tidak akan mengikut cara parti lama (UMNO) yang mementingkan kocek sendiri dan mengetepikan kepentingan umum.