SKANDAL doping melibatkan atlet Rusia memasuki episod baru apabila Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memutuskan larangan beraksi di temasya Olimpik ke atas 28 orang atlet negara itu dibatalkan.

CAS turut memutuskan mereka bebas daripada sabitan dalam kes doping ketika temasya Sukan Olimpik 2014 di Sochi kerana tidak cukup bukti.

CAS dalam penghakimannya menegaskan bukti yang dikemukakan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) berhubung kes doping atlet Rusia tidak mencukupi.

Bukti bagi 28 kes atlet itu dirumuskan tidak mencabuli undang-undang anti-doping seperti didakwa IOC.

CAS juga memutuskan hukuman ke atas 11 atlet lain yang didapati bersalah dalam kes doping yang melarang mereka beraksi seumur hidup di Olimpik kini dikurangkan kepada hanya satu temasya di Pyeongchang.

28 atlet yang terlibat kini mencari ruang untuk menyertai semula temasya di Pyeongchang, namun difahamkan permohonan itu berdepan kesukaran.

Skandal doping Rusia menyaksikan 169 orang atletnya terpaksa bertanding di bawah bendera neutral.

Temasya Olimpik musim sejuk Pyeongchang hanya berbaki lapan hari lagi.