Ketua jurulatih Kaya FC, Joel Villarino, berkata bermain menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) pada peringkat kalah mati kejohanan Piala AFC di Stadium Larkin di sini esok merupakan suatu penghormatan bagi pasukannya.

"Sudah ternyata, Johor adalah satu daripada pasukan terbaik dan amat kuat dalam kempen ini. Kami bangga dan gembira kerana berpeluang bermain menentang mereka, tapi pada waktu sama, kami juga ingin mengutip tiga mata serta berharap sekurang-kurangnya seratus (peminat Filipina) akan berada di stadium esok untuk menonton perlawanan bersejarah itu," kata Villarino di sini hari ini.

Villarino berkata, sebagai pasukan 'underdog', mereka membuat persiapan sepenuhnya, termasuk membariskan sekurang-kurangnya empat pemain kebangsaan.

"Kami membuat penyelidikan tentang lawan kami dan berharap pemain kami akan saling membantu bagi mencapai sasaran itu," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan Kaya, Aly Borromeo berkata perlawanan berprofil tinggi seperti itu tidak boleh didapati setiap hari dan oleh demikian, ia merupakan sesuatu yang istimewa bagi pasukannya.

"Pertandingan seperti ini merupakan pengalaman baharu bagi kami. Kami akan turun sebagai 'underdog' dan perlu mencari semua peluang untuk meraih hasil," katanya.