Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengakui beliau tidak begitu memahami beberapa isu kontroversi yang melibatkan Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM).

Bagaimanapun, katanya, kementeriannya (KBS) sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada persatuan itu.

“Setiap sukan mempunyai persatuannya sendiri termasuk ragbi, bola sepak dan sukan elektronik.

“Paling penting sekali adalah, pihak KBS perlu bekerjasama dengan semua pihak,” katanya pada satu sidang media di kementeriannya di sini pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung kerelevanan penubuhan ESM walaupun dipalit dengan pelbagai kontroversi.

Syed Saddiq berkata: “Saya tidak faham kontroversi apa. Saya rasa biar pihak ESM menjawab soalan itu.”


E-sukan: Adakah ESM masih relevan?

Turut hadir dalam sidang media itu, Setiausaha Agong ESM Rinie Ramli, yang menyifatkan mana-mana persatuan sukan yang baharu sudah tentu akan dilanda pelbagai cabaran.

“Kami telah buat pelbagai usaha untuk mencari jalan penyelesaian bagi menaikkan sukan-sukan baharu di Malaysia ini.

“Beberapa kerjasama turut dijalankan seperti dengan Persekutuan E-Sukan Antarabangsa (IeSF) dan Majlis Olimpik Asia, bertujuan meningkatkan nama e-sukan negara,” kata Rinie.

ESM diasaskan pengerusinya sebelum ini, Datuk Latt Shariman Abdullah, dan didaftarkan di bawah Pesuruhjaya Sukan Malaysia pada 4 Disember, 2014.

Sepanjang penubuhannya, ESM terpalit dengan beberapa kontroversi termasuk isu yang melibatkan kejohanan Sukan Elektronik Asia Tenggara (AGES) 2016.