KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan mahu lebih banyak lagi acara e-sukan bertaraf dunia seperti ESL One dianjurkan di Malaysia pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim berkata hasrat itu selaras dengan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab e-sukan di Asia Tenggara.

"Semoga dengan usaha ini dapat memacu pertumbuhan industri e-sukan yang berterusan dan mampan di Malaysia," katanya pada sidang media selepas sesi tinjauan mesra ESL One di sini pada Jumaat.

Sebanyak 12 pasukan terbaik dunia yang berentap dalam permainan DOTA bersaing untuk merebut satu daripada enam tempat di play-off ESL One selain wang tunai berjumlah AS$1 juta (RM4.6 juta).

Kejohanan antarabangsa itu, yang masuk tahun keempat, bermula pada 11 Dis lepas dan berakhir Ahad ini.

-- BERNAMA