Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mewujudkan Jabatan Bola Sepak Wanita dalam waktu terdekat selaras dengan kehendak badan induk dunia (FIFA) bagi mempertingkatkan pembangunan permainan wanita.

"FAM tidak terkecuali daripada melaksanakannya...kita akan wujudkan Jabatan Bola Sepak Wanita kerana sebelum ini tidak ada," kata Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Bola Sepak Wanita FAM 2016 di sini hari ini.

Seminar tiga hari bermula hari ini bertujuan memberi tumpuan ke arah pembangunan bola sepak wanita di peringkat kebangsaan dan juga negeri.

Turut hadir, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan juga Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Malaysia, Brig Jen Datuk Norhuda Ahmad dan wakil bola sepak wanita Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) Beatrice Von Siebenthal.

Menurut Hamidin, dalam pembentukan jabatan baharu itu, FAM turut berusaha mempertingkatkan pembangunan bola sepak wanita bukan sahaja untuk skuad kebangsaan tetapi juga skuad Bawah 21, 19, 17 tahun dan peringkat akar umbi.

"Sekarang ini kita ada pemain B-14 dan B-17 kebangsaan di Sekolah Sukan Kota Kinabalu. Ia mungkin akan diperkembangkan lagi di sekolah sukan yang lain seperti di Gambang, SSTMI (Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail) dan Bukit Jalil. Bagaimanapun setakat ini masih belum dapat kelulusan lagi," kata Hamidin.

Selain itu, katanya usaha pembangunan berkenaan juga akan dijalankan dengan kerjasama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang mendapat kepakaran daripada UEFA.

Dalam perkembangan sama, Norhuda berkata seminar yang julung kali diadakan itu diharap dapat membuka jalan untuk bekerjasama dengan persatuan negeri supaya turut memberi tumpuan kepada pembangunan bola sepak wanita.

"Seminar ini adalah antara usaha kami menyedarkan persatuan bola sepak negeri dan kelab yang kita perlu juga memberi tumpuan kepada bola sepak wanita.

"Saya dapati ramai anak gadis yang ingin melibatkan diri dalam arena bola sepak secara serius tetapi tidak ada platform.

"Melalui inisiatif ini juga saya mahu persatuan bola sepak negeri mengambil iktibar dan sama-sama membantu menyediakan prasarana dan aktiviti yang membolehkan lebih ramai anak gadis atau wanita di luar sana yang ingin melibatkan diri secara serius," katanya.

Norhuda berkata pihaknya telah mewujudkan semula pertandingan Piala Tun Sharifah Rodziah tahun lepas bagi mencari pemain yang boleh disenaraikan dalam skuad kebangsaan bagi mengalas cabaran di Kejohanan AFF Wanita di Myanmar pada Julai depan.

"Memandangkan acara bola sepak wanita tidak tersenarai dalam Sukan SEA 2017, jadi sasaran terdekat kita ialah Kejohanan AFF."

Di Sukan SEA 2017, hanya acara futsal wanita yang disenaraikan, katanya. Norhuda yakin skuad futsal wanita mampu meraih pingat dalam Sukan SEA ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2017 berdasarkan kepada prestasi di Kejohanan Futsal Wanita AFC tahun lepas, yang menyaksikan skuad negara menamatkan saingan
di tempat keempat.