BURNLEY 2 TOTTENHAM HOTSPUR 1

Harry Kane menyumbat gol selepas kembali daripada kecederaan tetapi cabaran Tottenham Hotspur di puncak carta Liga Perdana Inggeris terjejas susulan kekalahan di tangan Burnley 2-1 di Turf Moor, sebentar tadi.

Spurs dilihat cuba meneruskan rentetan empat kemenangan berturut-turut sebelum ini dan mampu berada satu mata di belakang pendahulu, Manchester City dan Liverpool.

Namun, Burnley yang berada dalam prestasi terbaik memberikan cabaran hebat dan The Clarets meraih pendahuluan menerusi tandukan Chris Wood yang menyambut bola sepakan sudut Dwight McNeil tatkala pelawat melihat tendangan itu tidak seharusnya dianugerahkan kepada tuan rumah.

Kane, yang berehat enam minggu ekoran kecederaan buku lali sebelum ini, tampil menyinar untuk memberikan satu mata buat Spurs tetapi Barnes yang kini menyumbat gol dalam empat aksi berturut-turut menghasilkan jaringan dari jarak dekat ketika permainan berbaki tujuh minit.

Hugo Lloris tampak tidak dapat menyesuaikan diri dengan hantaran tinggi di permulaan aksi tatkala rembatan kaki kiri Kane pada minit ke-16 jauh tersasar.

Tom Heaton turut tampil cemerlang menafikan percubaan Christian Eriksen sebelum tendangan Barnes melepasi palang gawang.

Hantaran lintang lencong dari sebelah kanan oleh McNeil menemui Wood yang melonjak mengatasi benteng Spurs untuk memberikan pendahuluan buat pasukannya serta gol keenam peribadi dalam lapan perlawanan.

Mauricio Pochettino membawa masuk Fernando Llorente untuk menyertai Kane di barisan depan dan kapten England itu menyamakan kedudukan lapan minit selepas gol pembukaan Wood.

Lontaran ke dalam yang bijak daripada Danny Rose memerangkap pertahanan tuan rumah sebelum Kane tenang menyempurnakan peluang di depan gol mengatasi Heaton.

Tatkala Spurs rancak melakukan asakan ke kubu lawan, Barnes muncul pemusnah apabila mempamerkan sentuhan jaringan selepas menyempurnakan lorongan leret daripada pemain gantian, Johann Gudmundsson.