HARRY KANE berkata mengetuai England dalam Piala Dunia 2018 merupakan kerja mudah setakat ini.

Penyerang Tottenham Hotspur itu mengambil alih lilitan kapten daripada Jordan Henderson sebelum sepak mula kempen paling berprestij itu dan selamat memimpin The Three Lions di peringkat kumpulan dengan meledak lima gol dalam dua perlawanan, sekali gus muncul pencabar utama Anugerah Kasut Emas.

England sekali lagi memerlukan Kane untuk memimpin jentera serangan jika mereka ingin terus maju di Russia, namun pemain berusia 24 tahun itu bersikap tenang kerana dia tidak perlu memikul sepenuhnya beban kepimpinan.

"Semuanya berjalan lancar. Ia menjadi mudah untuk saya. Kami mempunyai ramai pemain yang mengawalnya, "katanya.

"Jika ada sesuatu yang tidak betul, mereka bersikap terbuka untuk berbincang dengan jurulatih mahupun sesiapa sahaja. Ia tentang melakukan perkara yang sama.

"Sekiranya pemain mahu bercakap atau memerlukan bantuan, saya akan berada di samping mereka untuk berbincang atau berjumpa dengan jurulatih. Itu cara kami," katanya.

England akan menghadapi Colombia di Moscow, Selasa ini, dengan juara akan berdepan Sweden atau Switzerland di peringkat suku akhir.