Kemenangan atlet terjun 10 meter, Cheong Jun Hoong dalam Kejohanan Terjun Dunia beri satu tekanan buat Datuk Lee Chong Wei.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata kejayaan atlet negara menjuarai empat kejohanan dunia dalam tempoh empat bulan kebelakangan ini telah berjaya meningkatkan momentum semangat seluruh rakyat Malaysia serta kalangan atlet khususnya.

"Sudah semestinya kejayaan ini memberi rangsangan besar buat atlet kita bagi mencapai sasaran juara keseluruhan untuk Kuala Lumpur 2017. Sekarang, tekanan terletak kepada (Datuk) Chong Wei.

"Kita tahu, dia pemain badminton terbaik negara setakat ini, tetapi masih lagi tidak dapat menjuarai kejohanan dunia. Saya percaya, kejayaan yang dicapai Jun Hoong dan Azizul Hasni sedikit sebanyak meringankan beban Chong Wei sebelum ini," katanya dalam sidang media selepas melancarkan koleksi terhad KL 2017.

Tambah beliau, Chong Wei tidak akan beraksi di Sukan SEA kali ini kerana menumpukan perhatian pada aksi di Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland.

Pada majlis berkenaan, Khairy melancarkan barangan eksklusif KL2017 seperti jersi, payung, dan botol air sempena temasya Sukan SEA yang akan berlangsung dari 19 hingga 30 Ogos 2017 dan Sukan Para ASEAN dari 17 hingga 23 September 2017.

Ia dihasilkan menerusi kerjasama Petronas dan Telekom Malaysia (TM) dengan barangan dijual di lebih 300 stesen minyak Petronas yang mengambil bahagian di seluruh negara.

Jelas Khairy, usaha TM dan Petronas menerusi penjualan koleksi KL2017 ialah untuk menaikkan semangat rakyat Malaysia.

Peminat juga boleh mendapatkan koleksi tersebut secara dalam talian di laman web www.fmstore.com.my.