Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin mencadangkan ketua kontinjen bagi Sukan Olimpik Rio de Janeiro Brazil tahun depan dan Sukan SEA 2017 perlu diketuai oleh bekas peserta Olimpik negara.

Katanya bekas atlet negara lebih sesuai memegang jawatan itu kerana mereka mempunyai pengalaman yang tinggi serta mempunyai kepimpinan yang baik.

"Saya cadangkan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) bahawa bagi temasya akan datang kita beri peluang bekas 'olympian' negara untuk menjadi CDM (ketua kontinjen).

"Pada pendapat saya, atlet tersebut mempunyai nama dan saya percaya atlet tersebut dapat menjadi seorang pentadbir sukan yang cekap kerana mempunyai pengalaman luas sebagai atlet," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas hadir pada majlis berbuka puasa bersama Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) di Hotel Hilton, KL Sentral di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Khairy berkata beliau akan membentang kertas kerja penganjuran Sukan SEA 2017 berhubung tempat dan acara sukan yang akan dipertandingkan.

Menurutnya sasaran untuk menjadi juara keseluruhan bagi temasya dwitahunan itu merupakan satu tugas yang berat namun persediaan atlet perlu bermula dari sekarang.

"Sasaran bukan mudah seperti pernah kontinjen negara lakukan pada 2001 (Kuala Lumpur menjadi tuan rumah). Ketika itu atlet negara telah membuat persiapan menerusi program Komanwel (Sukan Komanwel) 1998. Asas kejayaan itu telah bermula awal," katanya.

Khairy turut memanggil SAM untuk turut serta dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk Sukan SEA sebagai persediaan tuan rumah 2017.