CRISTIANO Ronaldo adalah seorang manusia yang bencikan kekalahan, dalam apa sahaja yang dilakukannya.

Ini diceritakan oleh bekas rakan sepasukannya di Manchester United, Patrice Evra bahawa Ronaldo akan melakukan segala yang perlu untuk memastikan kemenangan menjadi miliknya, termasuk dalam permainan ping pong.

Melihat pemain kelahiran Madeira itu meledak hatrik dalam aksi pembukaan Portugal menentang Sepanyol minggu lepas, Evra berkata ia adalah manifestasi sifat Ronaldo yang selalu laparkan kemenangan apatah lagi ketika Portugal terdesak untuk mengulangi kegemilangan Euro 2016 di Rusia.

Menyanjungi persembahan menakjubkan Ronaldo itu, Evra menyifatkan Ronaldo seorang yang sentiasa mengejar kesempurnaan.

“Ada satu hari dia bermain ping pong bersama Rio Ferdinand dan dia kalah, kami semua bersorak dan dia sangat tidak gembira.

“Kemudian dia minta sepupunya untuk beli meja ping pong, dia berlatih untuk dua minggu di rumah dan kembali untuk kalahkan Rio di depan semua orang.

“Itulah dia Cristiano Ronaldo. Jadi saya tak hairan hari ini kenapa dia mahu menang satu lagi bola emas, kenapa dia mahu menang Piala Dunia. Kerana dia adalah seorang yang mengejar kesempurnaan,” ceritanya.

Walaupun usianya sudah cecah 33 tahun, Ronaldo tidak langsung menunjukkan sebarang tanda dia akan perlahan, jaringkan 44 gol untuk Real Madrid musim ini dan membantu mereka memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

Kata Evra, Ronaldo obses untuk menjadikan dirinya lebih baik.

Malah pemain pertahanan berusia 37 tahun itu melanjutkan cerita tentang apa yang berlaku setiap kali Ronaldo menjemput rakan sepasukan datang ke rumahnya untuk makan tengahari selepas selesai sesi latihan.

“Kalau dia jemput datang rumah untuk makan tengahari, jangan pergi,” selorohnya.

“Jadi dia kata ‘Patrice, jom datang rumah lepas latihan.’ Saya datang, awak tahu saya sangat penat, dan di atas meja hanya ada salad dan ayam putih kosong jadi saya macam, okay, dan air, bukanlah jus dan saya terfikirkan makanan menarik seperti daging akan datang kemudian tapi tak ada.

“Dia selesai makan, berdiri dan mula bermain dengan bola, buat sedikit skil dan berkata, ‘jom kita main satu dua’.

“Saya berkata boleh tak saya habiskan makan dahulu? ‘Tak, tak, jom main satu dua’, dan kami pun mula bermain. Selepas itu dia ajak ke kolam renang, saya kata okay… dan selepas ke jacuzzi, sauna, cukuplah.

“Saya kata, ‘Cristiano, kenapa kami datang? Kami datang sebab ada perlawanan esok atau semata-mata untuk makan tengahari? Jadi, sebab itu saya tak sarankan sesiapa pergi ke rumah Ronaldo kalau dia jemput, katakan sahaja tidak - sebab lelaki ini adalah mesin, dia tidak mahu berhenti berlatih,” kata Evra.

Ronaldo akan memimpin skuad Seleçao berdepan cabaran Maghribi bagi perlawanan kedua saingan peringkat Kumpulan B pada 20 Jun seterusnya menentang Iran pada 26 Jun dalam usaha meneruskan langkah ke peringkat kalah mati.