TIDAK lekang dek kontroversi, Conor McGregor nampaknya terlibat dalam satu lagi masalah apabila satu rakaman video yang menyaksikan bintang UFC itu menumbuk seorang warga emas muncul di media sosial.

Memetik laporan TMZ, McGregor, 31 tahun, dipercayai menyerang lelaki terbabit di sebuah pub di Dublin, Ireland apabila lelaki itu dikatakan enggan meminum wiski yang dipelawanya.

“Saya tak mahu minuman ‘sampah’ ini. Saya tak mahu minum minuman awak,” kata warga emas berkenaan, menolak pelawaan McGregor apabila dihidangkan minuman keras keluaran syarikatnya.

Tindakan itu membuatkan McGregor berang dan terus menyerang lelaki tersebut.

Sementara itu, juara lightweight Khabib Nurmagomedov dalam reaksinya mengutuk tindakan McGregor dan mahu musuh tradisinya itu dimasukkan ke penjara.

“Orang-orang macam ni, mereka harus ke penjara. Dia tiada rasa hormat.

“Ini tidak baik untuk sukan (MMA). Ada benda yang dia buat baik untuk sukan, tapi sekarang dia seperti sudah hilang akal. Ia gila.

“Kerajaan perlu ‘belasah’ dia, itu pandangan saya. Sebab saya betul-betul marah... saya tak faham bagaimana dia boleh tumbuk orang tua. Hari ini dia tumbuk orang tua, esok apa pula akan jadi?” katanya seperti dipetik di portal TMZ.

Susulan itu, McGregor dilaporkan bakal didakwa atas serangan tersebut.

Menurut sumber yang memaklumkan kepada Irish Sun, laporan sudah pun difailkan dan dihantar ke timbalan pendakwa raya, dan kini menunggu McGregor untuk hadir ke mahkamah.

Ini bukanlah kali pertama petarung MMA dari Ireland itu melakukan serangan sedemikian.

BACA: Pecahkan telefon peminat, Conor McGregor ditahan

BACA: Serang bas, McGregor dibebas dengan ikat jamin AS$50,000

Pada 12 Mac lalu, dia pernah ditahan polis kerana didakwa memecahkan telefon bimbit seorang peminat yang cuba mengambil gambarnya di hadapan hotel Fontainebleau Miami Beach, Florida, Amerika Syarikat.

Sebelum itu, McGregor pernah didakwa menyerang sebuah bas yang dinaiki atlet seni bela diri lain di Brooklyn, New York pada April 2018.