Dua pasangan beregu campuran negara, Wong Fai Yin/Chow Mei Kuan dan Tan Kian Meng/Lai Pei Jing, mengalami nasib berbeza pada pusingan pembukaan Kejohanan Badminton Indonesia Masters yang berlangsung di Gedung Graha Cakrawala di Malang.

Wong/Chow mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pasangan tuan rumah, Akbar Bintang Cahyono/Nugraheny Ristya Ayu 21-18, 21-18, demikian menurut laman sesawang Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfbadminton.org.

Sementara, Tan/Lai menampilkan aksi membanggakan sebelum tumpas kepada satu lagi pasangan tuan rumah Rafiddias Akhdan Nugroho/Vita Marissa 18-21, 21-16, 19-21 pada kejohanan Grand Prix Emas itu yang menawarkan hadiah US$120,000 (RM508,192).

Tan yang berpasangan dengan Low Juan Shen, sebelum itu menempah tiket ke undian utama acara beregu lelaki selepas mengatasi cabaran daripada dua pasangan tuan rumah pada pusingan awal.

Pasangan Malaysia itu menumpaskan Ramadhani Akbar Gusti/Perdana Awanda Mahaputra 21-18, 21-9 pada perlawanan kelayakan pertama, sebelum menewaskan Yahya Adi Kumara/Yantoni Edy Saputra 21-19, 21-18 dalam aksi kelayakan terakhir.

Tan/Low dijangka berdepan Yohanes Rendy Sugiarto/Afiat Yuris Wirawan dari Indonesia pada perlawanan pusingan pertama, hari ini.