KUALA LUMPUR: Genap 100 hari, atlet elit dari seluruh dunia dan ratusan ribu peminat sukan bakal berkumpul di Sungai Seine, Paris untuk upacara perasmian Sukan Olimpik 2024, yang julung kali diadakan di kawasan terbuka berbanding persekitaran terkawal dalam stadium.

Ia termasuk kontinjen Malaysia yang akan hadir dengan aspirasi untuk menamatkan penantian hampir tujuh dekad untuk pingat emas pertama di pentas Olimpik, sejak penyertaan sulung di edisi Melbourne 1956.

Namun, secara realistiknya, tiga bulan sebelum temasya tersebut yang dijadualkan dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini, peluang Malaysia untuk merangkul emas masih samar dengan enam atlet telah layak secara rasminya manakala beberapa atlet lagi menunggu pengesahan.

Penganalisis sukan tempatan, Datuk Pekan Ramli berpendapat, situasi kali ini berbeza berbanding beberapa edisi-edisi terdahulu apabila prospek emas boleh diletakkan ke atas atlet seperti legenda badminton, Datuk Lee Chong Wei dan jaguh berbasikal trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang pada temasya Tokyo 2020.

"Tetapi kali ini, kita belum melihat keyakinan yang penuh untuk meletakkan pertaruhan tinggi ke atas mana-mana atlet. Bukan sahaja untuk emas tetapi pertaruhan untuk pingat pun agak sukar manakala saiz kontinjen dijangka lebih kecil kali ini.

"Atlet yang bakal beraksi di Paris 2024 nanti, perlu meletakkan diri mereka dalam keadaan prestasi konsisten kerana ia dapat melonjakkan keyakinan untuk mencabar yang terbaik dunia. Kalau prestasi terumbang-ambing, jika mereka pergi dengan tahap kurang baik, agak sukar," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata dua bekas pemenang pingat sebelum ini, Azizulhasni yang meraih gangsa pada edisi Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020 bagi acara keirin serta gandingan Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang meraih gangsa beregu lelaki di Tokyo menjadi taruhan utama untuk pingat.

Bagaimanapun, prestasi kurang konsisten daripada Aaron-Wooi Yik dan Azizulhasni yang masing-masing muncul juara dunia bagi acara beregu lelaki pada 2022 dan keirin pada 2017, menimbulkan keresahan.

"Kita tahu Azizulhasni merupakan seorang fighter mempunyai keazaman, mental bagus serta semangat patriotisme yang tinggi tetapi keadaan kesihatannya agak merisaukan," katanya.

Pekan turut meminta kepada semua atlet negara yang bakal beraksi Olimpik, untuk memberikan tumpuan penuh dan menggandakan usaha mereka menjelang 100 hari terakhir ini supaya boleh mencapai keputusan yang disasarkan.

Enam atlet telah mengesahkan tempat di Olimpik Paris secara rasminya setakat ini - atlet terjun Bertrand Rhodict Lises, Nur Shazrin Mohd Latif (pelayaran), Johnathan Wong (menembak), Ariana Nur Dania Mohd Zairi (memanah), Nur Aisyah Mohd Zubir (berbasikal lebuh raya) dan Mohamad Aniq Kasdan (angkat berat).

Tiga pelumba berbasikal trek - Azizulhasni, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri - juga telah melayakkan diri, namun belum diumumkan secara rasmi oleh Kesatuan Berbasikal Dunia (UCI). - BERNAMA