Pelumba Sepanyol Luis Salom maut selepas terlibat kemalangan tragis dalam sesi latihan Grand Prix Catalonia.

Bintang berusia 25 tahun itu dilaporkan hilang kawalan ke atas jentera SAG yang ditunggangnya di salah satu selekoh, namun punca sebenar kemalangan itu masih belum jelas kerana tiada rakaman.

Selepas cuba diberikan rawatan di tepi trek, Salom segera digegaskan ke sebuah hospital di Barcelona menggunakan ambulans walaupun difahamkan sebelum itu, sebuah helikopter juga telah dipanggil untuk segera membawanya mendapatkan rawatan kecemasan.

“Oleh kerana keadaannya amat parah, keputusan telah diambil untuk memindahkan Salom melalui jalan darat ke Hospital Besar Catalonia. Sejurus tiba, dia telah dimasukkan ke bilik pembedahan," ujar satu kenyataan rasmi.

Namun, setelah sedaya upaya cuba menyelamatkannya, pihak hospital menyampaikan khabar dukacita dengan mengesahkan kematiannya pada jam 4.55 petang waktu tempatan.