TIADA yang perlu ditakutkan kerana mereka sudah mengikuti semua peraturan seperti yang ditetapkan.

Itu tegas pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, sebagai reaksi balas terhadap Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA), yang mahu kes perpindahan Akhyar Rashid dibawa ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) atau Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Tunku Mahkota Johor itu menjelaskan mana-mana pemain berhak berhijrah ke pasukan lain selagi mengikut segala peraturan termasuk menebus baki kontrak dengan pasukan lama.

"Terdapat klausa dalam peraturan bola sepak yang menyatakan bahawa seorang pemain boleh meninggalkan pasukan pada akhir musim sekiranya dia inginkan, dengan mengikut prosedur tertentu.

"Apabila terdapat laporan Akhyar sedang berusaha untuk menamatkan kontraknya dengan Kedah dan sedang menunggu keputusan FAM selepas Kedah tidak mengendahkan permintaannya untuk membincangkan perkara itu, kami menyatakan bahawa kami hanya akan mendekati Akhyar apabila dia sudah meninggalkan kelab itu dan menjadi ejen bebas.

"Jadi, apakah kesilapan JDT untuk menandatangani Akhyar selepas ada pengumuman oleh FAM bahawa dia dibenarkan menjadi ejen bebas?" soal TMJ dalam satu entri di Facebook Johor Southern Tigers.

TMJ juga berkata Kedah sepatutnya menyalahkan diri mereka sendiri apabila bintang muda itu memilih untuk menebus kontrak dan meninggalkan kelab.

"Jika hari ini Safawi Rasid datang kepada saya dan mengatakan beliau mahu menebus kontraknya dan meninggalkan kelab ini, saya akan terima dengan hati yang terbuka.

"Saya tidak boleh kecewa dengannya atau pasukan yang hendak mendapatkan pemain tersebut. Kenapa? Kerana ini bermakna kelab tidak menjaga pemain tersebut dengan baik sehingga mendorong pemain tersebut untuk berhijrah. Saya hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan kelab ini kerana tidak dapat menjaga pemain dengan baik.

"Jikalau Kedah merasakan bahawa mereka mahu membawa Akhyar atau Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) ataupun FIFA, teruskan," tulis beliau.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Kehormat KFA, Mohd Asmirul Anuar Aris tetap berkeras mahu mengheret isu berkenaan ke FIFA dan CAS meskipun terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar.

Akhyar dilaporkan masih mempunyai baki kontrak bersama skuad Hijau Kuning sehingga akhir 2019.

JDT memperkenalkan Akhyar sebagai pemain baharu mereka minggu lalu, namun KFA dalam satu kenyataan menegaskan Akhyar masih milik pasukan Kedah kerana setakat ini tiada proses penebusan kontrak oleh pemain dan pelepasan dilakukan menurut peraturan FAM, AFC dan FIFA.